31 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

JPJ tambah baik ciri keselamatan MyJPJ, mesra pengguna

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menambah baik beberapa ciri keselamatan dan mesra pengguna pada aplikasi MyJPJ dan portal awam jabatan itu, yang dapat diakses pengguna secara berperingkat mengikut sistem operasi telefon, mulai hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim, berkata langkah menambah baik ciri keselamatan dan mesra pengguna itu dilakukan selepas memperoleh pelbagai maklum balas orang ramai susulan pengenalan Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM atau cukai jalan digital) serta Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) sejak 10 Februari lalu.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan termasuk memperkenalkan sekuriti peringkat tiga menggunakan lapan aksara terakhir tertera di belakang lesen memandu, untuk pendaftaran JPJelD secara dalam talian.

“Ia adalah tambahan kepada dua peringkat sekuriti sedia ada, iaitu ‘kata laluan’ dan ‘kod TAC’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ciri keselamatan yang ditambah baik menerusi aplikasi MyJPJ.

Seterusnya, Zailani berkata, menambah fungsi bagi mendapatkan semula akaun pengguna melalui lapan aksara terakhir lesen memandu, sekali gus menyelesaikan isu ‘telah mendaftar’ disebabkan pengguna sebelum ini mempunyai akaun dalam portal rakan strategik JPJ yang berintegrasi dengan sistem jabatan itu.

Selain itu, beliau berkata, menambah fungsi Penetapan Semula E-mel bagi pengguna yang terlupa e-mel digunakan atau perlu mengemas kini e-mel secara dalam talian, dengan tambahan lapan aksara lesen memandu.

“Penambahbaikan ciri-ciri keselamatan ini dapat diakses oleh pengguna secara berperingkat mengikut sistem operasi telefon (Android, IOS dan Huawei), mulai hari ini.

“Dalam hal ini, Kementerian Pengangkutan juga sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi memastikan aspek keselamatan siber aplikasi MyJPJ terjamin,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh disalurkan ke e-mel: [email protected] atau hubungi talian hotline JPJ: 03-27242522.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan pada kenderaan masing-masing, mulai Jumaat lalu.

Loke dilaporkan berkata, warganegara boleh menggunakan mod paparan e-LKM dan e-LMM melalui portal awam JPJ atau aplikasi telefon pintar MyJPJ yang dilaksanakan bawah satu projek perintis secara dalaman.

Semalam sahaja, aplikasi MyJPJ telah dimuat turun lebih 2.5 juta pengguna dalam tempoh empat hari pelancarannya. – Edisi 9

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan