29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

HNDP 2030: Kenalpasti pembangunan jaringan jalan raya

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) menerbitkan Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2030 (HNDP 2030) yang bertujuan untuk mengenalpasti keperluan pembangunan jaringan jalan raya di Semenanjung Malaysia bagi meningkatkan kesalinghubungan yang akan menyokong pembangunan ekonomi negara.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi perancangan perhubungan jalan raya dan lebuh raya antara Lembah Klang dan bandar-bandar di Negeri Sembilan, HNDP 2030 telah mengenalpasti beberapa cadangan projek.

“Antaranya, Lebuhraya Pantai Barat (West Coast Expressway – WCE) jajaran
selatan; Jalan baharu Broga – Simpang Pelangai dan Lebuhraya SKLIA Senawang – KLIA – Salak Tinggi.

“Dalam pada itu, HNDP 2030 turut mengenalpasti cadangan projek yang menghubungkan bandar-bandar dalam Negeri Sembilan seperti Jalan baharu persimpangan Ulu Klawang – Kampung Sungai Daun (FT86); Jalan Pintas Kuala Pilah dan Jalan Lingkaran Luar Seremban (Seremban Outer Ring Road),”katanya bagi menjawab Pertanyaaan Lisan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.

Alexander menjawab persoalan yang dikemukakan Datuk Seri Aminuddin Harun (PKR-Port Dickson) yang bertanya apakah ada perancangan bagi
menghubungkan jaringan lebuh raya antara Lembah Klang dengan
Bandaraya Seremban dan bandar-bandar utama lain di Negeri Sembilan
seperti Port Dickson, Tampin, Rembau, Jempol dan Gemas.

Menurutnya, HNDP 2030 boleh dijadikan rujukan utama semua
Kementerian, agensi pusat dan kerajaan negeri untuk perancangan
projek pembangunan rangkaian jalan raya sehingga tahun 2030.

Sementara itu, Alexander memberitahu, sememangnya terdapat perancangan untuk menghubungkan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) antara Paroi ke Senawang di Lebuhraya Utara -Selatan (PLUS).

“Kelulusan prinsip bagi Cadangan Projek Paroi – Senawang Link (PSL) telah diberikan kepada Syarikat Pencadang pada 6 September 2022 selama enam bulan bermula September 2022 sehingga 28 Mac 2023.

“Jajaran PSL secara struktur jejambat (elevated) ini dirangka agar dapat memberikan laluan terus antara Lebuhraya LEKAS dengan Lebuhraya PLUS sebagai hubungan antara dua jajaran utama lebuhraya serta melengkapkan sistem jaringan lebuhraya.

“Manakala bagi Cadangan Projek Senawang-KLIA (SKLIA) pula, kelulusan prinsip telah diberikan pada 6 September 2022 selama 18 bulan bermula Julai 2022 sehingga 28 Januari 2024.

“Cadangan Projek SKLIA ini akan menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya PLUS sediada untuk trafik ke arah barat Lembah Klang khususnya ke Kuala Lumpur International Airport (KLIA) tanpa perlu melalui Lebuhraya ELITE,”katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan mengenai status laluan alternatif dari Lebuhraya LEKAS Paroi ke persimpangan PLUS Senawang serta cadangan untuk menyambung lebuhraya baharu yang menghubungkan Senawang dan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan