29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Denti dan Frankie sertai misi SAR ke Turkiye

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DUA ekor anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Denti dan Frankie, menjadi sandaran misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

Kedua-dua anjing terbabit dipilih menyertai misi itu kerana memiliki kepakaran mencari mangsa hidup dan mayat.

Menurut Ketua Komander Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM, Ismail Abd Ghani, Denti dan Frankie pernah terbabit dalam operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu.

“Denti, anjing daripada baka Labrador, dan Frankie daripada baka English Springer Spaniel, masing-masing akan dikendali oleh pegawai bomba Tony Anak Albert Mani dan Y Thibagaran,” katanya malam tadi.

Beliau berkata demikian kepada media pada pelepasan misi SAR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Selain Denti dan Frankie, penghantaran pasukan penyelamat kedua dari Malaysia turut disertai 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), 30 anggota JPBM dan 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Dalam pada itu, Ismail berkata, anjing pengesan dibawa bersama bagi memaksimumkan tugasan apabila berada di lokasi.

“Anjing pengesan ini sangat membantu dalam usaha mengesan lokasi di mana mangsa berada.

Advertisements

“K9 adalah antara pasukan atau unit yang termasuk dalam misi mencari dan menyelamat SMART, jadi mereka ini memang bersedia untuk diatur gerak ke mana-mana (lokasi di) luar negara.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kedua-dua anjing itu dibawa bersama untuk memastikan pasukan penyelamat Malaysia dapat melaksanakan operasi SAR dengan lebih berkesan.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan ketika melaksanakan misi SAR, pasukan pertama SMART yang sudah tiba di Gaziantep berdepan beberapa cabaran agak besar iaitu cuaca ekstrem di lokasi bencana, koordinasi logistik dan pengangkutan serta faktor keselamatan geopolitik.

“Namun begitu, semangat seluruh anggota tetap tinggi dan cabaran dihadapi dapat ditangani dengan kerjasama Disaster and Emergency Management Presidency (AFAD) Turkiye.

“Saya harap rakyat Malaysia keseluruhannya mendoakan keselamatan dan kesihatan pasukan SMART supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin,” katanya.

Isnin lalu, Malaysia menghantar pasukan SMART yang dianggotai 70 anggota ke Turkiye bagi membantu misi SAR mangsa gempa bumi di selatan Turkiye sebagai tanda solidariti.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan