KONGRES Kesatuan Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik pelantikan Datuk Dr Zulkapli Mohamad sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu, berkuatkuasa hari ini.
Presidennya Datuk Adnan Mat, berkata pihaknya yakin kepimpinan dan pengalaman luas Zulkapli dalam perkhidmatan awam mampu menerajui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan perkhidmatan awam itu sendiri ke arah yang lebih baik selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Sememangnya perkhidmatan awam memerlukan pemimpin yang berpengalaman luas dan dekat dengan penjawat awam agar segala permasalahan serta hal-hal kebajikan warganya dapat disantuni dengan berkesan.
“Cuepacs sebagai sebuah kesatuan yang mewakili suara warga perkhidmatan awam sebelum ini sudah mempunyai hubungan yang amat baik dengan Datuk Dr Zulkapli Mohamed.
“Beliau sentiasa menjadi rujukan Cuepacs dalam hal-hal melibatkan permasalahan penjawat awam dan dalam masa yang selalu bertukar pandangan antara satu sama lain.
“Cuepacs berharap hubungan yang baik ini terus terjalin bagi memastikan kualiti perkhidmatan awam sentiasa dapat ditingkatkan selaras dengan kebajikan warganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan Zulkapli dilantik sebagai KPPA yang baharu, berkuatkuasa hari ini sekali gus mengisi jawatan itu yang ditinggalkan kosong sejak Disember lalu.
Dalam masa sama, Adnan menyeru seluruh warga perkhidmatan awam memberikan sokongan yang penuh kepada Zulkapli untuk menerajui JPA demi kebaikan institusi. – Edisi 9

