27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Zahid serah kepada ROS tentukan keabsahan keputusan PAU

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengenai keabsahan keputusan yang dibuat parti itu berhubung usul tambahan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), minggu lalu.

Beliau berkata, parti itu sangat terbuka bagi ahli-ahlinya membuat sebarang aduan jika mereka tidak berpuas hati dengan keputusan tidak pertandingan bagi dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, memang terdapat klausa dalam Akta Pendaftaran 1966 yang menyatakan sebarang keputusan yang dibuat oleh parti perlu dikemukakan kepada ROS.

“Pada hemat saya, isunya bukan untuk kelulusan dari ROS tapi ‘dimaklumkan’. Segala proses mesyuarat sudah mematuhi Perlembagaan UMNO dan Pengerusi Tetap Persidangan turut mengikut peraturan mesyuarat.

“Jadi jika ada laporan atau sebarang aduan yang dibuat kepada ROS, UMNO amat terbuka untuk mereka kemukakan. Kita harap ROS menerima keputusan yang dibuat PAU minggu lalu sebagai keputusan yang absah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian ketika melawat tapak pembinaan Jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop di Bagan Datuk, hari ini.

Zahid mengulas tindakan dua ahli UMNO yang membuat aduan kepada ROS berhubung isu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Kedua-dua mereka iaitu ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammmad Rom.

Zahid berkata, beliau menyerahkan kepada ROS untuk membuat keputusan dan memuaskan hati mereka yang membuat analisis dan spekulasi berhubung isu jawatan tersebut.

“Saya menyerahkan diri kepada perwakilan dan mereka sudah membuat keputusan pada PAU minggu lalu.

“Apa yang penting adalah perpaduan dalam kepimpinan UMNO dapat dipertahankan,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Warga Israel bersama 6 pucuk senjata api ditahan

SEORANG lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang,...

Lagi Artikel Berkaitan