28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Bakar al-Quran: PN mahu Kerajaan panggil Duta Sweden

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERIKATAN Nasional (PN) menggesa Kerajaan untuk segera memanggil Duta Sweden ke Malaysia bagi menyuarakan bantahan, kekecewaan serta kekesalan Malaysia secara rasmi berhubung insiden membakar kitab suci al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, selain itu, tindakan itu juga adalah bagi menuntut hukuman segera dikenakan ke atas pelaku serta memastikan insiden serupa tidak dibenarkan berlaku pada masa hadapan.

Ujarnya, Ahli Parlimen PN mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap kesucian Islam melalui provokasi melampau yang cuba menyemarakkan gerakan Islamofobia dan kebencian terhadap agama Islam.

“Insiden membakar kitab suci Al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden, merupakan satu bentuk pencabulan keharmonian bermasyarakat yang teramat serius serta tindakan keji dan biadab yang tidak boleh dibiarkan sama sekali.

“Jenayah kebencian secara terang-terangan ini tidak boleh dibiarkan atas apa juga alasan toleransi atau berselindung di sebalik dakyah kebebasan bersuara. Sweden perlu bertindak menghukum kesemua pelakunya kerana ia bukan kejadian pertama yang didalangi Rasmus Paludan dan kumpulan Stram Kurs,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Hamzah lagi, Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang mengambil pendirian untuk bersolidariti bersama dengan Kerajaan bagi mempertahan kesucian agama Islam dan menentang sebarang unsur Islamophobia, ekstremisme, radikalisme, kebencian serta keganasan.

Malah mennurutnya, Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang juga menyeru kepada Kerajaan agar lebih proaktif dalam mengajak serta memimpin masyarakat antarabangsa agar bersama-sama menggalas tanggungjawab untuk menghenti dan menentang sebarang bentuk perilaku Islamofobia, xenofobia serta tidak bertoleransi terhadap hasutan atau dasar yang menyemarak keganasan.

Kelmarin, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turki di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turki dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan