26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

UMNO pecat Tun Faisal berkuat kuasa serta-merta

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Akhbar Tan Sri Annuar Musa memaklumkan ibu pejabat UMNO menghubungi pihaknya pada jam 4.28 petang tadi dan menghantar surat pemecatan itu melalui aplikasi WhatsApp.

Tun Faisal turut berkongsi surat pemecatan itu yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, bertarikh 27 Januari lalu dalam Facebook rasmi beliau.

Berdasarkan surat itu, dimaklumkan bahawa pemecatan Tun Faisal dibuat berkuat kuasa serta-merta selepas ia diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 5 Januari dan Jumaat lalu.

Tindakan itu dibuat berikutan Tun Faisal dikesan melanggar etika ahli UMNO berdasarkan perlembagaan parti.

Bagaimanapun, Tun Faisal bertegas tidak akan membuat rayuan berhubung keputusan pemecatannya itu kerana keputusan tersebut sudah boleh dijangka, lebih-lebih lagi apabila terbukti MKT dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak terbuka untuk menerima kritikan.

“Ketika saya bercakap perkara yang benar dulu pun berkenaan pengkhianatan Zahid terhadap dasar parti, saya tetap dihukum kononnya kerana memfitnah.

“Jasa UMNO sebagai parti teras dalam Perikatan dan Barisan Nasional juga begitu banyak dalam memajukan rakyat dan negara Malaysia ini.

“Saya bersyukur sebagai salah seorang penerima manfaat dan diberi peluang untuk berbakti kepada rakyat dan negara melaluinya di Kementerian Pelajaran, Kementerian Dalam Negeri, JASA, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Penentangan saya adalah terhadap individu dan bukan terhadap UMNO. Bagi saya UMNO dan BN itu tiada masalah dan jelas prinsip perjuangannya. Yang bermasalah itu adalah pemimpinnya, seperti Zahid yang telah menjadi punca perpecahan di dalam UMNO sebaik dia mengkhianati dasar parti dan keputusan PAU2019 apabila dia menandatangani SD dan surat menyokong Anwar menjadi PM,” katanya hari ini.

Malah ujarnya, tindakan itu menjadi punca perpecahan di dalam UMNO sejak 2020.

“Saya tidak dapat menyokong Zahid disebabkan pengkhianatan ini dan penentangan saya terhadap Zahid bermula daripada terbongkarnya pengkhianatan tersebut.

“Saya juga tidak dapat menerima pendekatan-pendekatan Zahid dalam memimpin UMNO dan BN untuk menghadapi PRU15 dan bagi saya, dia sendiri adalah salah satu punca utama yang mengakibatkan pengundi dan rakyat menolak UMNO dan BN dalam PRU15.

Malah dakwa Tun Faisal, selepas kegagalan teruk dalam PRU15, Zahid membawa pula UMNO dan BN mengkhianati pengundi-pengundi UMNO dengan bertindak menyokong Anwar menjadi PM dan bekerjasama dengan parti-parti yang mempunyai ideologi yang bertentangan dengan UMNO.

“Tidak cukup dengan itu, tindakan ‘pembersihan UMNO daripada pemimpin-pemimpin yang menolak Zahid’ dan usaha menghalang pertandingan jawatan Presiden akan mengakibatkan UMNO semakin dijauhi penyokong dan ahli.

“Pandangan saya, selagi Zahid menjadi Presiden, UMNO ini adalah ‘beyond repair’,” katanya.

Terdahulu, UMNO bertindak memecat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Selain itu, mesyuarat MKT Jumaat lalu turut menggantung keahlian beberapa pemimpin antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan