24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tiada perbincangan GST, cukai baharu – Ahmad Maslan

Hanya memperkemaskan kaedah kutipan cukai sedia ada serta mengekang tindakan-tindakan ketirisan dan penyeludupan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BELUM ada perbincangan dan keputusan berhubung cukai baharu atau pengenalan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebaliknya kerajaan hanya akan memperkemaskan kaedah kutipan cukai sedia ada serta mengekang tindakan-tindakan ketirisan dan jenayah yang boleh menyebabkan pendapatan negara terjejas seperti penyeludupan.

Menurutnya, pendapatan kerajaan perlu ditambah dan dalam masa sama mengurangkan hutang kerajaan, namun tidak semestinya dengan mengenakan cukai baharu.

“Usaha-usaha ke arah itu sedang dibuat saya ambil contoh kecil, misalnya jika kita boleh mengurangkan keterisian dari segi penyeludupan. Ada yang menyebut pelarian cukai daripada rokok ini kira-kira RM5 bilion.

“Jadi kalau kita mengetatkan segala perkara yang berhubung pelarian cukai rokok, penyeludupan rokok maka tanpa sebarang segala cukai baharu, kerajaan boleh mendapat pertambahan sebanyak RM3 bilion hingga RM5 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Akauntan Nasional 3.0 di Shah Alam, Selangor hari ini.

Advertisements

Ujar Ahmad lagi, selain penguatkuasaan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu memainkan peranan untuk melaksanakan perundingan dengan sektor swasta untuk memperkasakan cukai sedia ada

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan tiada perbincangan atau mesyuarat berkaitan GST dalam kerajaan, namun tidak menolak jika terdapat pembaharuan terhadap dasar cukai diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari nanti.

“Saya tidak boleh kata begitu (perancangan cukai baharu) sebab bajet sedang disiapkan dan hari ini baru 11 Januari, ada sebulan lebih lagi sebelum bajet. Jadi saya tidak boleh menyebut dan nyatakan tidak ada itu dan ini (cukai baharu).

“Jadi semuanya sedang disiapkan dalam tempoh ini sehinggalah pada Jumaat petang itu barulah siap. Jadi hendak kata tidak ada itu dan ini tidak boleh sebut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak GST masih lagi cukai terbaik yang dilaksanakan di 170 negara seluruh dunia.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan