SEBANYAK 11 premis perniagaan warga asing di sekitar Plaza Sungei Wang, Jalan Bukit Bintang disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tindakan penguatkuasaan yang dijalankan lewat petang semalam.
Tindakan berkenaan dilakukan Jabatan Penguatkuasaan yang tertumpu terhadap premis yang dikendalikan warga negara Bangladesh, Pakistan dan Myanmar.
DBKL berkata, menerusi pemerhatian dan risikan khas oleh pasukan penguatkuasanya sejak seminggu yang lalu, serbuan ketiga ini telah dijalankan secara mengejut ke atas 14 buah premis perniagaan barangan am.
“Ia melibatkan premis yang menjalankan aktiviti penjualan pakaian, kasut, beg, aksesori telefon, aksesori komputer, membaiki peralatan elektrik dan salon kuku.
“Menerusi pemeriksaan kali ini, DBKL membuat semakan ke atas 27 orang pembantu atau pengendali premis warga asing.
“Hasil pemeriksaan, pihak penguatkuasa terus membuat tindakan penutupan serta-merta (sealed) terhadap 11 buah premis menerusi Sek.101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya dalam kenyataan hari ini.
DBKL berkata, pihaknya juga turut mengeluarkan 14 notis kompaun terhadap premis-premis berkenaan menerusi Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 ( 4 notis Tiada Lesen Perniagaan, 10 notis Lantik Pembantu Tiada Kebenaran ).
“Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan selepas ini terus kepada pemilik premis warga tempatan bagi pengesyoran penamatan atau pembatalan lesen perniagaan berikutan membenarkan warga asing mengendalikan aktiviti perniagaan mereka tanpa kebenaran sah.
Katanya, DBKL akan meneruskan tindakan penguatkuasaan dan pemerhatian di semua lokasi tumpuan (hotspot) yang lain melibatkan aktiviti-aktiviti perniagaan dikendalikan oleh warga asing.
“DBKL juga akan berkerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara mengikut bidang tugas dan peruntukan bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Semalam, tujuh premis perniagaan warga asing disita dan ditutup manakala tujuh premis dikenakan kompaun DBKL kerana menjalankan aktiviti perniagaan dan penjajaan tanpa kebenaran di sekitar Wangsa Maju.- Edisi 9