AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman, Terengganu menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C (bersaiz besar) di sekitar perairan daerah itu, awal pagi ini.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot nelayan berkenaan ditahan pada jam 1.20 pagi bersama lima nelayan termasuk tekong warganegara Myammar di sekitar 13.8 batu nautika dari Kuala Kemaman.
Beliau berkata, penahanan dibuat selepas pihaknya menerima maklumat berkenaan pencerobohan kawasan oleh bot nelayan kelas C.
“Bot ronda Maritim Malaysia yang ketika itu sedang melakukan rondaan Op Iman dan Op Naga Barat telah diatur gerak di lokasi sasaran.
“Ketika tiba dilokasi yang dilaporkan didapati terdapat sebuah bot sedang melakukan aktiviti perikanan pada jarak kira-kira 5.2 batu nautika daripada pantai.
“Pemeriksaan ke atas bot tersebut turut mendapati lima awak-awak termasuk tekong mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
“Bot yang berpangkalan di Kuantan, Pahang itu ditahan bersama tekong dan awak-awak dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.
“Mereka yang ditahan berumur antara 27 hingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menunda pukat kurang dari 12 batu nautika daripada daratan terhampir.
Ujar beliau, Maritim Malaysia memandang serius dan bertindak tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang dan akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan Negara sentiasa selamat dan terpelihara.
“Orang ramai juga disarankan memberi kerjasama untuk membantu menangani sebarang aktiviti jenayah maritim dengan membuat aduan melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kemaman di talian 09-8581653,” katanya. – Edisi 9