28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

‘Ready to fight’ Zahid beri makna lainlah, KJ

Mesti Baca

READY to fight (sedia berlawan) yang dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Khairy Jamaluddin boleh memberikan makna yang pelbagai.

Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Khairy usah seronok apabila Zahid mengucapkan kata tersebut kerana ia memberi makna yang lain.

“Pada KJ itu bermakna Zahid sedia dilawan untuk jawatan Presiden UMNO. Ready to fight juga ada makna lain. Iaitu sedia melawan musuh habis-habisan di PRN (pilihan raya negeri) enam negeri nanti,” katanya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Khairy yang salut dengan keberanian yang ditunjukkan Zahid dengan bersedia menghadapi siapa sahaja bagi mempertahankan jawatan Presiden UMNO.

Ia susulan tindakan spontan Timbalan Perdana Menteri itu yang menyatakan ‘ready to fight’ ketika bertembung dan bersalaman dengan Khairy semasa Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu berharap tidak ada sebarang usul dibawa agar dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan dalam perhimpunang parti kali ini.

Sementara itu, Puad secara sinis menyelar tindakan Khairy yang dikatakan hanya timbul ketika pilihan raya umum dan pemilihan parti tetapi membisu pada waktu lain.

Beliau juga membidas kenyataan Khairy bahawa tindakan 140 bahagian UMNO yang menyatakan solidariti agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan sebagai satu ‘kegilaan’.

“KJ dakwa menghalang pertandingan jawatan nombor satu dan dua adalah gila. Bukankah itu keperihatinan mengikut keperluan semasa. Mana tahu PRN berlaku masa pemilihan parti

“Apakah demokrasi hanya berlaku bila ada pertandingan? Bila majoriti perwakilan sokong tiada pertandingan, apakah itu bukan demokrasi?

“Kegilaan ialah bila semua hilang fokus dan money politic (politik wang) kembali berkuasa,” katanya yang dipercayai merujuk isu suapan kepada pengundi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Khairy, 47, merupakan satu-satunya individu yang secara terbuka menyatakan hasrat untuk merebut jawatan Presiden dalam pemilihan agung parti itu tidak lama lagi.

Hasrat itu disuarakan beliau ketika berkempen dalam PRU15 di Parlimen Sungai Buloh dan mengulanginya semasa menjadi panel satu forum di Singapura beberapa hari lalu.

Khairy pernah mencalonkan diri merebut jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan tahun 2018 tetapi tewas kepada Zahid.

Beliau memperoleh 52 undi bahagian berbanding 97 dimenangi Zahid sementara seorang lagi calon, Tengku Razaleigh Hamzah mendapat 26 undi. – Edisi 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan