29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Polis sahkan penemuan mayat dua beradik, siasatan dijalankan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS mengesahkan penemuan mayat dua beradik yang rentung dalam kebakaran tiga rumah teres di Kampung Simpang Tiga Gombak dekat sini dan siasatan sedang dijalankan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata, mayat dua beradik berkenaan ditemui dalam bilik utama kediaman keluarga mereka.

“Mangsa terdiri seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan adik lelakinya berusia tujuh tahun itu dipercayai lemas dalam asap yang menyelubungi sebelum rentung dalam kebakaran itu.

“Terdahulu, polis menerima laporan kejadian pada jam 3.53 pagi melalui panggilan MERS999 dan kebakaran ini membabitkan tiga buah rumah.

“Salah sebuah rumah hangus terbakar dan pasukan bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan kebakaran.

“Sebaik kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya, anggota bomba yang melakukan pemeriksaan menjumpai dua mangsa dalam bilik utama rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainal Mohamed berkata, mayat dua beradik itu kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat.

Advertisements

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan buat masa ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat yang juga Ketua Polis Balai Gombak, Inspektor Heirme Che Mad di talian 014-2389151 atau 03-61895222.

Dalam kebakaran awal pagi tadi, Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adik lelakinya berusia tujuh tahun, Muhammad Al Qayyum ditemukan rentung.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.54 pagi tadi.

Katanya, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dan Rawang serta Pasukan Bomba Sukarela Gombak diarahkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan rumah teres kelas A yang terbakar 70 peratus dan pasukan bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan