26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Penunggang maut, disyaki lumba haram

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG lelaki maut dalam nahas enam buah motosikal disyaki lumba haram di Kilometer 187.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Parit Buntar, Perak, hari ini.

Penunggang berusia 20 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala lima rakannya mengalami kecederaan.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, maklumat kejadian itu diterima sekitar jam 1.50 pagi melibatkan enam motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

“Siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan dari arah Plaza Tol Alor Pongsu menghala ke Bukit Merah.

“Nahas itu menyebabkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia. Lima penunggang lain pula telah dirujuk ke Hospital Taiping dan Parit Buntar bagi menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

“Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairul Hanafi Hanapi di talian 05-7210539/013-6200564,” katanya.

Ujar beliau, pengguna jalan raya terutama golongan remaja dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram.

“Mereka boleh disiasat mengikut Seksyen 42(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan