ORANG awam termasuk guru dan netizen dinasihatkan tidak berkongsi sebarang bentuk video atau hebahan mengenai kanak-kanak di media sosial terutama murid sekolah.
Itu saranan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam ucapannya pada Amanat Tahun Baharu Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya hari ini.
Fadhlina berkata, video tular mengenai kanak-kanak tidak boleh ditularkan, sebaliknya dilindungi bagi membantu membentuk ekosistem sihat dan selamat.
“Guru khususnya mempunyai tanggungjawab dalam melindungi identiti murid selain ia berpotensi mendatangkan kesan yang buruk terhadap individu yang terlibat.
“Bila video ini mula tersebar di media sosial maka identiti individu yang terlibat akan terkesan apatah lagi wajah mereka yang terlibat,”katanya di sini.
Mengulas lanjut, dalam sidang media, Fadhlina berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah telahpun diarahkan untuk mengendalikan sepenuhnya isu gaduh sekumpulan pelajar berkenaan.
“JPN negeri itu akan menyiasat lanjut dan mengambil tindakan sewajarnya berkaitan insiden berkenaan.
Difahamkan, insiden terbabit melibatkan sebuah sekolah menengah di Kota Kinabalu.
Katanya, KPM yakin kes seumpama itu mampu untuk diselesaikan.
“KPM juga akan mempertimbangkan untuk memberikan perkhidmatan kaunseling terhadap murid yang terlibat,” katanya. – Edisi 9