“SEPATUTNYA orang ataslah yang buat aduan. Itu baru berani namanya,” sindir Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Sindiran itu dipercayai ditujukan kepada bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin.
Semalam, Khairy memuji tindakan berani dua ahli UMNO yang membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti itu.
Bagaimanapun, kenyataan beliau mendapat kecaman daripada pemimpin UMNO termasuk Mohd Puad yang mencabar Khairy untuk melakukannya sendiri.
Dakwa Mohd Puad, beliau percaya kemungkinan dua ahli UMNO itu dipergunakan oleh pihak tertentu untuk berbuat demikian.
“Jangan guna orang bawah, apatah lagi kalau bekas pegawai sendiri. Itu waras ke?.
“Sepatutnya orang ataslah yang buat aduan. Itu baru berani namanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Semalam, Khairy memuji dua ahli UMNO yang membuat laporan kepada RoS berhubung usul tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti itu.
Tindakan itu menunjukkan masih ada ahli parti berkenaan yang berani dan waras.
“Well done guys (syabas kawan-kawan). Saya yakin dengan kredibiliti RoS untuk buat semakan terhadap usul Rembau di PAU (Perhimpunan Agung Umno),” tulis bekas Menteri Kesihatan itu di Instagram.
Terdahulu, dua ahli UMNO membuat laporan kepada RoS bagi meminta satu siasatan kemungkinan berlakunya perlanggaran perlembagaan parti berhubung usul tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi.
Ahli UMNO Terengganu Aizat Fikri Nasir dan ahli UMNO Negeri Sembilan Fiqri Firdaus mendakwa usul yang dibentangkan dalam PAU baru-baru ini melanggar Artikel 10 perlembagaan parti itu. – Edisi 9