34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

KKDW laksana Aspirasi Desa Makmur, tadbir urus pentadbiran

Aspirasi “Desa Makmur” dilibatkan diseluruh komuniti desa dalam penggubalan dan pelaksanaan polisi.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan melaksanakan Aspirasi Desa Makmur pada tahun ini bagi memastikan pengupayaan desa secara radikal berdasarkan empat imperatif utama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, imperatif ini  terkandung di dalam perkataan desa itu sendiri di mana D untuk Data dan Digital, E untuk Ekonomi dan Ehsan, S untuk Sosial dan Sahsiah, dan A untuk Akaliah dan Alam Sekitar.

Beliau berkata, pemantapan pengurusan data adalah sangat penting bagi mengiktiraf, mencerap, menelusuri data terkini dan menetapkan budaya data dalam penggubalan polisi dan program di KKDW.

“Sehubungan dengan itu, saya telah meminta supaya kementerian menyediakan dashboard bagi tujuan pencernaan data terkini yang boleh digunakan bagi tujuan analisa dan membuat keputusan,”katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang mengemudi kementerian berkata, KKDW perlu meningkatkan kapasiti dan kemahiran digital bagi setiap penduduk desa dengan menyasarkan pemilikan sumber dan perkakasan digital yang tinggi.

“Ikhtiar ini perlu seiring dengan keterhubungan digital yang terbaik di seluruh kawasan desa terutamanya kawasan yang unserved dan underserved.

Pada masa yang sama, platform pemasaran digital produk berasaskan industri desaperlu ditambahbaik untuk meningkatkan pendapatan usahawan luar bandar,”katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bagi memperkasakan ekonomi desa dan mengatasi isu kesenjangan pendapatan, usaha-usaha perlu dilakukan bagi mengurangkan jurang pendapatan, kadar kemiskinan luar bandar dan pengangguran dalam kalangan siswazah di desa.

“Kemajuan dan potensi ekonomi desa perlu ditingkatkan berdasarkan kebitaraan tempatan. 

“Kemudian bagi memajukan industri dan ekonomi desa sebagai pemangkin ekonomi baru Malaysia, terutamanya dalam industri primer dan hiliran – KKDW perlu mewajahkan semula desa Malaysia agar lebih terserlah di pentas dunia dan mewujudkan insentif yang menarik untuk pelabur luar melabur di kawasan desa Malaysia,”katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Elemen Sosial dan Sahsiah perlu diterapkan bagi membina kapasiti dan kepimpinan belia desa secara besar-besaran.  

“Gejala sosial perlu dibendung dengan memperhebat pengupayaan jentera dan agensi, memperkenalkan program-program kerohanian dan budaya yang inovatif serta mengiktiraf dan memperkasa peranan Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) desa,”katanya.

Tidak ketinggalan kata beliau, dari segi pembangunan akaliah dan kepakaran anak-anak desa terutamanya generasi pelapis desa tradisi yang perlu sentiasa menjadi agenda utama kemajuan desa.

“Ini bermakna ‘core business’ KKDW menerusi agensi-agensinya seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memastikan perlaksanaan program-program TVET, latihan dan pendidikan sentiasa disemak dan dianjak selaras dengan keperluan masa hadapan.

“Anak-anak desa akan dilengkapkan dengan set skill dan kepakaran yang tidak terdapat di dalam sukatan pendidikan tradisional, yang tidak diajar di dalam bilik darjah, sepertimana yang dituntut dalam mendepani cabaran abad ke-21.

“Pada masa yang sama, kemajuan desa tidak akan sesekali meminggirkan aspek kelestarian alam sekitar. Bencana yang melanda Negara menjadi petanda betapa perubahan iklim itu sesuatu yang benar dan mendesak.

“Maka setiap program, dasar dan projek pembangunan akan sentiasa memastikan aspek kelestarian dan pemeliharaan alam semulajadi tidak diketepikan.

“Justeru saya mahu aspirasi “Desa Makmur” dilibatkan diseluruh komuniti desa dalam penggubalan dan pelaksanaan polisi, termasuk memastikan tadbir urus terbaik dalam pentadbiran Kementerian dan setiap agensi di bawahnya,”katanya.

Ujar beliau, indeks kebahagiaan Malaysia dan dapatan-dapatan empirikal yang banyak dijalankan di peringkat nasional boleh menjadi penentu aras kejayaan usaha ini.

“Warga KKDW perlu peka dengan garis nasional berbanding garis indeks luar bandar agar kita sedar dimensi mana yang ketinggalan dan melaksanakan intervensi yang perlu dari segi perlaksanaan dasar atau program,”katanya. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan