24.9 C
Kuala Lumpur
Monday, January 30, 2023

KJAM cipta rekod tawan 14 puncak gunung tempoh 87 hari

Pendakian bermula di Gunung Tambuyukon, Sabah pada 12 September 2022 dan berakhir di Gunung Mulu, Sarawak pada 4 Disember 2022.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9


KELAB Jelajah Alpine Malaysia (KJAM) menutup kalender 2022 dengan rekod terbaharu dengan menawan 14 puncak gunung tertinggi di Malaysia dalam tempoh kurang 100 hari.

Pendakian dilakukan oleh Presidennya, Muhammad Illaham Ishak, 46, menerusi projek pendakian khas KJAM yang merujuk kepada Malaysia Book of Record iaitu ’14 Peaks Malaysia’.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, pendakian Muhammad Illaham dibantu oleh beberapa pendaki sokongan yang bertukar-tukar bagi setiap gunung yang didaki.

Ia mengambil masa selama 87 hari, menepati perancangan awalnya untuk berakhir dalam tempoh kurang 100 hari pendakian.

Pendakian bermula di Gunung Tambuyukon, Sabah pada 12 September dan berakhir di Gunung Mulu, Sarawak pada 4 Disember lalu

Gunung-gunung yang didaki adalah tujuh gunung tertinggi di kepulauan Borneo atau Seven Summits Borneo dan tujuh gunung tertinggi di Semenanjung.

Pendakian dibahagikan kepada tiga Fasa iaitu Fasa 1 membabitkan pendakian Lim loopa Puncak Tertinggi Borneo di Sabah iaitu Gunung Tambuyukon (2579m) pada 12 September, Gunung Trusmadi (2642m) 18 September, Gunung SingSing (2603m) 21 September, Gunung Kaingaran (2482m) 21 September dan Gunung Kinabalu (4095m) pada 24 September.

Fasa 2 pula membabitkan pendakian tujuh Puncak tertinggi di Semenanjung iaitu Gunung Tahan, Pahang (2186m) pada 30 September, Gunung Chamah, Kelantan (2171m) 13 Oktober, Gunung Yong Belar, Perak (2181m) 15 Oktober, Gunung Gayong, Perak (2173m) 17 Oktober, Gunung Korbu, Perak (2183m) 17 Oktober, Gunung Yong Yap, Perak (2167m) 24 Oktober, dan Gunung Ulu Sepat, Perak (2161m) pada 26 Oktober.

Manakala Fasa tiga membabitkan pendakian di dua Puncak tertinggi Borneo di Sarawak iaitu Gunung Murud (2422m) pada 1 November, Gunung Mulu (2376m) pada 4 Disember.

Jelas Muhammad Illaham, pelbagai cabaran dilaluinya bagi menjayakan pendakian yang berterusan selama 87 hari itu.

Baca juga:   Pasang Jalur Gemilang terbalik, lelaki Bangla ditangkap
Baca juga:   BDR: Tahap produktiviti penjawat awam tetap terbaik

“Antaranya, cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat membuatkan pendakian terutama di Sabah amat sejuk dan basah sehingga kaki salah seorang pendaki sokongan dijangkiti ulat air dan tidak dapat meneruskan pendakian.

“Laluan pendakian yang curam dan arus sungai yang deras di Gunung Tahan dan Gunung Mulu.

“Semasa pendakian di Perak, saya mendapat berita mengenai larangan pendakian semua gunung di negeri itu pada 1 November dan itu menyebabkan tempoh misi pendakian saya hanya ada kurang 30 hari untuk melengkapkan pendakian tujuh puncak di Semenanjung.

“Saya juga berdepan risiko laluan haiwan liar seperti gajah di Gunung Chamah, Kelantan, ancaman harimau di Perak, binatang berbisa di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Selain itu katanya, tempoh pendakian yang berterusan selama hampir tiga bulan itu turut memberi kesan dari segi pemulihan badan yang boleh mengundang kecederaan.

“Saya juga menghadapi cabaran dalam mengurus logistik dengan keadaan muka bumi yang mencabar untuk memasuki kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Pelbagai kenderaan digunakan termasuk kenderaan 4×4 hinggalah ke kapal terbang untuk ke pedalaman di Sarawak, “katanya.

Tambah Muhammad Illaham, beliau melaksanakan misi itu dengan mengambil inspirasi pendakian berterusan 14 Gunung 8000 meter di dunia oleh pendaki Nepal, Nims Dai, yang menjadi manusia pertama menamatkan pendakian itu dalam tempoh hanya tujuh bulan berbanding tujuh tahun paling cepat pernah dilakukan sebelumnya.

“Di Malaysia juga ada cabarannya iaitu pendakian 14 puncak hutan hujan khatulistiwa ataupun “Tropical Rain Forest” yang terkenal dengan cabaran yang tidak kurang hebat yang biasanya pendaki menghabiskan pendakian dalam tempoh dua hingga lima tahun, tetapi kita berjaya juga menamatkannya dalam masa kurang tiga bulan, “katanya.

Baca juga:   Sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa 1 Januari
Pelbagai cabaran dilalui Muhammad Illaham bagi menjayakan pendakian yang berterusan selama 87 hari itu.

Misi pendakian ’14 Peaks Malaysia’ dalam tempoh 87 hari itu kata Muhammad Illaham, akan dibukukan untuk memberi panduan dan maklumat kepada pendakian gunung di negara ini.

Selain mencatat rekod menamatkan pendakian 14 puncak paling pantas, misi 14 Peaks Malaysia’ itu juga melakar dua lagi rekod iaitu:Pendakian tujuh Puncak tertinggi Sabah (Sabah 7Summits) dalam tempoh 14 hari.

Pendakian 7 Puncak tertinggi di Semenanjung (G7 Malaya) dalam tempoh 30 hari.

Untuk rekod, Muhammad Illaham pernah menawan puncak Everest laluan Tibet pada 2011 dan Everest lauan Nepal pada 2013 selain berjaya menawan puncak tertinggi benua Eropah iaitu Gunung Elbrus sebanyak 7 kali.

Baca juga:   Jangan menumpang kepada yang bawa rebah - Puteri UMNO

Beliau juga berjaya ke puncak tertinggi benua Afrika iaitu Gunung Kilimanjaro sebanyak 2 kali dan puncak tertinggi benua Australasia iaitu Gunung Carstensz Pyramid di wilayah Papua, Indonesia.

“Saya bagi pihak KJAM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menjayakan misi pendakian ini khususnya Penasihat kelab, Zainudin Lot, Penasihat Projek, Mohamad Khairi [email protected] dari UUM, Khairul Hasriman Mat Aripin MGP Perak dan Pengurus Taman-Taman Sabah, Justinus Guntabid

Sebagai tanda kenangan misi pendakian bersejarah ini, KJAM turut menjual baju-T khas yang boleh dibeli oleh sukan mendaki gunung di laman Facebook Alpine Club Malaysia.

“Saya juga mengalu-alukan dan berharap ada pendaki-pendaki lain yang dapat mendaki 14 puncak ini dengan rekod baharu yang lebih pantas dan lebih teratur sekaligus dapat mempromosi dan meningkatkan industri sukan mendaki hutan hujan Khatulistiwa di negara ini dalam kalangan pendaki tempatan dan luar negara,” katanya. – Edisi 9

Wartawan

Terkini

Kemerosotan jumlah pelajar aliran sains jejas pembinaan negara

KEMEROSOTAN jumlah pelajar aliran sains di sekolah-sekolah menengah semakin membimbangkan dan situasi itu perlu ditangani dengan segera, kata Ahli...

Lagi Artikel Berkaitan