24.9 C
Kuala Lumpur
Monday, January 30, 2023

Identiti mangsa rentung dalam nahas dikenal pasti

Mangsa merupakan lelaki berbangsa Melayu berusia 35 tahun yang beralamat di Kampung Pinang Mukim Sok, Sik, Kedah.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS telah mengenal pasti identiti salah seorang individu yang rentung di dalam kereta yang terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 28 Jalan Jerantut-Temerloh berhampiran Kampung Dato’ Sharif Ahmad, Temerloh, Pahang semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, mangsa yang dikenal pasti merupakan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan.

“Kad pengenalan mangsa turut ditemui dan mangsa merupakan lelaki berbangsa Melayu berusia 35 tahun yang beralamat di Kampung Pinang Mukim Sok, Sik, Kedah.

“Pemandu kereta berkenaan juga seorang lelaki dewasa, namun identitinya masih belum dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Azhar, kemalangan membabitkan kereta Proton Persona dan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan tanah itu berlaku kira-kira pukul 10.45 pagi semalam.

Baca juga:   Timbalan Ketua MIC Bahagian Tapah maut kereta masuk parit

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa dari arah Temerloh ke Jerantut itu dipercayai memotong kenderaan lain di garisan berkembar sebelum bertembung dengan lori berkenaan.

“Berikutan kemalangan itu, kereta tersebut telah diseret lebih kurang 20 hingga 30 meter sebelum terbakar.

“Pemandu dan penumpang kereta gagal menyelamatkan diri akibat tersepit menyebabkan kedua-dua mangsa rentung dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.

Baca juga:   Dua beranak rentung dalam kebakaran banglo

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi talian 09-2716086 yang boleh dihubungi 24 jam atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di talian 019-2343449 bagi membantu siasatan.

-EDISI9

Wartawan

Terkini

Kemerosotan jumlah pelajar aliran sains jejas pembinaan negara

KEMEROSOTAN jumlah pelajar aliran sains di sekolah-sekolah menengah semakin membimbangkan dan situasi itu perlu ditangani dengan segera, kata Ahli...

Lagi Artikel Berkaitan