25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Hajiji dakwa ada sokongan majoriti 44 ADUN

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KETUA Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mendakwa pihaknya mempunyai sokongan majoriti membabitkan seramai 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk terus mentadbir Sabah.

Menurut beliau, jumlah itu merangkumi 29 ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tujuh daripada Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Selain itu katanya, sokongan itu juga membabitkan lima ADUN UMNO yang tidak menyertai tindakan menarik balik sokongan kepada pentadbiran pimpinan Hajiji yang digerakkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Selebihnya, masing-masing seorang ADUN Dilantik mewakili PAS, ADUN Bebas dan ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

“Kita mempunyai sokongan majoriti dengan seramai 44 ADUN di Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini bermakna kerajaan sedia ada yang saya pimpin ini masih utuh serta kuat dan akan terus mentadbir Sabah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ADUN terbabit di Sri Gaya, di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengesahkan sudah menghantar akuan bersumpah (SD) kesemua 44 ADUN menyokongnya, ke Istana Seri Kinabalu pada perjumpaan dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, semalam.

Advertisements

Mengenai isu perlembagaan yang dibangkitkan oleh BN Sabah dan Parti Warisan (WARISAN) pula, beliau berkata, perkara itu boleh dibawa ke mahkamah untuk diselesaikan.

“Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati, mereka boleh membawanya ke mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, Bung Moktar dan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony, dilapor membangkitkan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah yang antara lain menetapkan seseorang Ketua Menteri mesti seorang ketua parti yang mendapat sokongan majoriti ADUN.

Mereka mendakwa, Hajiji sudah hilang sokongan majoriti berikutan tindakan UMNO dan BN Sabah menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan