DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus membanteras aktiviti perniagaan dan penjajaan yang dijalankan oleh warga asing tanpa kebenaran di sekitar ibu negara.
Terbaharu tujuh lagi premis perniagaan warga asing disita dan ditutup manakala tujuh premis dikenakan kompaun kerana menjalankan aktiviti perniagaan dan penjajaan tanpa kebenaran di sekitar Wangsa Maju.
DBKL dalam kenyataannya berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menjalankan pemantauan dan tindakan sejak 19 Januari lalu.
“Tumpuan kali ini adalah di Parlimen Wangsa Maju meliputi kawasan Gombak dan Setapak.
“Sejumlah 14 tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan meliputi tujuh notis kompaun dan tujuh tindakan penutupan dan sita premis,” kata kenyataan itu hari ini.
DBKL berkata, antara premis yang dikenakan tindakan penguatkuasaan adalah kedai perabut, pengurusan perkhidmatan konsultansi, gunting rambut, cuci kereta dan kedai jahit.
Manakala notis-notis kompaun merangkumi UUK 3(1) dan Seksyen 101 (1)(v) Akta Kerajaan Tempatan, UUK 20 (1)(b) dan Seksyen 101 Akta Kerajaan Tempatan dan Notis Am 46 (1)(d).
Kenyataan itu berkata, berdasarkan pemeriksaan dan siasatan lanjut mendapati kesemua aktiviti perniagaan tersebut dijalankan oleh warga asing dan serta pemegang kad UNHCR.
“Sehubungan dengan itu, kesemua barangan sitaan telah dibawa ke stor sitaan DBKL di Jalan Lombong, Cheras,” katanya.
DBKL berkata, dalam menjayakan usaha tersebut, pihaknya berharap warga kota tidak memberikan sokongan terhadap perniagaan yang dijalankan oleh warga asing berkenaan. – Edisi 9