25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, February 1, 2023

SPRM siasat pemberian ‘sedekah’ semasa PRU-15

Walaupun pemimpin Pas tafsirnya sebagai sedekah tetapi pemberian wang itu tetap dianggap rasuah berdasarkan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka kertas siasatan berhubung pemberian wang tunai ketika kempen pilihan raya seperti dilihat dalam satu video yang berlaku di Terengganu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pemimpin Pas boleh mentafsirkan tindakan pemberian wang tunai ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengikut cara mereka, namun perkara itu sedang disiasat berkaitan pembelian undi.

“Tidak mengapa jika mereka menggunakan istilah seperti sedekah. Ia tetap rasuah seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kami sudah membuka beberapa kertas siasatan selepas menerima aduan ketika dan selepas pilihan raya dan kami akan menyiasat setiap kes yang dirujuk kepada kami,” katanya seperti dilapor The New Straits Times.

Berdasarkan akta itu, rasuah disifatkan berlaku apabila calon atau mana-mana individu membeli undi, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dengan memberi atau menawarkan wang, hadiah, pekerjaan atau pinjaman ketika atau selepas pilihan raya.

Baca juga:   PN dahului jumlah kerusi, diikuti PH, BN jauh ketinggalan

Sesiapa yang didapati bersalah boleh dipenjara maksimum dua tahun, denda antara RM1,000 dan RM5,000, serta penjara sehingga setahun.

Calon juga boleh hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan juga kehilangan hak untuk bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun jika mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu.

PAS mendapat kecaman selepas satu klip video menunjukkan segelintir individu menghulurkan wang tunai kepada pengundi, menjadi viral.

Baca juga:   SPRM dedah wujud penyelewengan perolehan perkhidmatan kesihatan

Bagaimanapun, Sabtu lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 itu adalah sedekah.

Beliau dilaporkan berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Katanya, undang-undang telah menetapkan bahawa setiap calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen.

“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah, terpulang kepada dia,” katanya.

Abdul Hadi mendakwa wujud usaha sesetengah pihak khususnya UMNO Terengganu mencabar kemenangan parti itu di Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman.

Wartawan

Terkini

Lagi Artikel Berkaitan