31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Luruan monsun dijangka berterusan hingga 24 Disember

Pusat Kawalan Operasi Bencana yang diselaraskan oleh Nadma mula diaktifkan sejak pagi tadi.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LURUAN monsun yang sedang berlaku dijangka berlarutan hingga 24 Disember ini dan berpotensi membawa angin kencang, ombak besar serta hujan berterusan di negeri-negeri utara, timur semenanjung dan timur Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali berkata, laporan daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang diterima oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) petang semalam memaklumkan, keadaan itu juga akan menyebabkan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

“Berikutan itu MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor hingga 21 Disember, manakala amaran angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan hingga 22 Disember,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Armizan berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang diselaraskan oleh Nadma mula diaktifkan sejak pagi tadi.

Justeru, katanya semua PKOB negeri telah diminta memaklumkan kepada PKOB pusat berhubung sebarang keperluan dan isu yang memerlukan intervensi segera bagi memastikan pengurusan tindak balas berjalan lancar.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), sehingga 8.40 malam tadi jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 10,347 orang daripada 3,081 keluarga.

Advertisements

Mereka ditempatkan di 149 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri iaitu 58 PPS di Kelantan, Johor (tiga), Terengganu (84), Perak (dua), dan masing-masing satu di Sarawak serta Pahang.

Pada masa sama, Armizan berkata, sehingga 2 petang tadi 51 lokasi banjir turut mengalami kejadian cerun atau jalan runtuh dan mendap serta kerosakkan jambatan.

Menurutnya, kejadian itu melibatkan 18 daerah di Terengganu; Kelantan (16); masing-masing empat daerah di Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang; Johor (tiga) dan masing-masing satu di Perak dan Selangor dengan membabitkan 18 jalan Persekutuan dan 33 jalan negeri.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk terutamanya di kawasan yang dilanda banjir berwaspada dan sentiasa peka arahan pihak berkuasa.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web http://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir serta aplikasi myCuaca di Google Play serta App Store untuk maklumat cuaca terkini daripada MetMalaysia. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan