26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Tak serik didakwa kali ketiga curi seluar dalam lelaki

Tertuduh mencuri tujuh helai seluar, sehelai singlet dan tiga kotak seluar dalam lelaki dengan nilai keseluruhan RM1,256

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG wanita yang juga ibu tiga anak tidak serik-serik apabila dia sekali lagi dituduh atas kesalahan serupa iaitu mencuri pakaian termasuk seluar dalam lelaki.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka hari ini atas pertuduhan mencuri pakaian termasuk pakaian dalam lelaki di sebuah pusat beli-belah, minggu lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Farah Munirah Zahari, 34, yang membuat pengakuan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang telah mencuri tujuh helai seluar, sehelai singlet dan tiga kotak seluar dalam lelaki dengan nilai keseluruhan RM1,256 milik pasar raya Aeon Bandar Raya Melaka.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1.50 petang pada 24 November 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau berulang boleh dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan mempunyai tiga anak kecil, selain ibunya kini menjalani rawatan kimoterapi untuk penyakit kanser dihidapi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira tertuduh mempunyai dua rekod lampau membabitkan kesalahan sama.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dari tarikh ditangkap pada 24 November lalu.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2003) dan hendaklah menjalani pengawasan di bawah Seksyen 38(B) akta sama atas kesalahan memberikan kepada diri sendiri dadah jenis heroin pada hari ditangkap.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali dan perintah pengawasan selama dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula pada 10 Januari tahun hadapan bagi menunggu laporan patalogi dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin. 

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan