28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Kenapa Tengku Zafrul, Azalina yang dipilih sebagai menteri?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

MASIH ramai yang tertanya-tanya kenapa Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz dan Azalina Othman dipilih sebagai wakil UMNO untuk berada dalam Kabinet kerajaan Anwar Ibrahim?

Kedua-dua mereka bukan siapa-siapa di dalam parti malahan Tengku Zafrul juga masih dianggap ‘orang baru’ dalam UMNO yang secara tiba-tiba diangkat sebagai calon BN di Kuala Selangor.

Persoalan ini bukan hanya menjadi tanda tanya dalam kalangan ahli dan penyokong UMNO tetapi juga orang awam di luar parti itu.

Sudah tentu pelantikan kedua-dua mereka ini telah dipilih oleh UMNO sendiri, atau tepatnya atas restu Presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan.

Sebelum ini ramai yang mengira Tengku Zafrul sebagai ‘orang Muhyiddin’ apabila beliau yang juga tokoh perbankan itu ditarik sebagai menteri Kabinet, menerajui Kementerian Kewangan ketika Muhyiddin jadi Perdana Menteri.

Kemudian, apabila Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin, beliau mengekalkan jawatan Tengku Zafrul, sehinggalah UMNO Bahagian Kuala Selangor menghebohkan untuk meletakkan beliau bertanding di kawasan itu dalam PRU-15.

Tengku Zafrul kemudian mengesahkan bahawa beliau adalah orang UMNO dan sekaligus menafikan hubungannya dengan parti lain, terutama Bersatu. Sejak itu. Tengku Zafrul semakin acap turun ke Kuala Selangor sehinggalah dicalonkan.

Malangnya beliau tewas tipis dalam persaingan empat penjuru, kepada penyandangnya Dr Dzulkefly Ahmad dari PH.

Sebab itu, ramai yang terkejut apabila beliau diumumkan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Calon yang sudah tewas dilantik, sedangkan ramai lagi pemimpin UMNO lain yang menang dalam PRU-15 tetapi tidak dipilih.

Berbanding dengan Azalina yang menang dan mempertahankan kerusi Parlimen Pengerang, maka pelantikan beliau masih dianggap wajar.

Namun, Azalina tidak punya jawatan di peringkat Pusat, melainkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Pengerang.

Lalu apa kriteria yang dipilih oleh UMNO sehingga kedua-dua mereka ini dipilih untuk berada dalam Kerajaan Perpaduan?

Nah, di sinilah aku melihat kecerdikan Zahid dalam menyusun gerak bagi menaikkan semula kekuatan UMNO dan BN.

Tengku Zafrul adalah tokoh perbankan yang terkenal bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau Asia dan dunia. Beliau sudah tentu mempunyai rangkaian jaringan yang cukup luas dengan dunia perbankan.

Salah satu tugas Tengku Zafrul di MITI pula adalah untuk menarik para pelabur asing untuk melabur di Malaysia. Dengan jaringan yang dimiliki sebelum ini, sudah tentu amat mudah untuk mendekati dan meyakini para pelabur untuk datang ke Malaysia.

Bro, dalam keadaan kuasa UMNO yang semakin melemah dan tidak lagi menguasai kerajaan, sudah tentu parti itu juga menghadapi masalah segi kewangan.

Tambahan pula Najib Razak yang sebelum ini dikatakan banyak membantu segi kewangan kepada parti, sedang dipenjarakan. Manakala aset-aset dan wang simpanan UMNO sudah dirampas selepas PRU-14 lalu.

Justeru, meletakkan Tengku Zafrul di MITI, diharapkan beliau bukan sahaja dapat mencari dana untuk negara tetapi juga untuk membantu mengukuhkan kewangan parti.

UMNO memerlukan dana-dana politik bagi menampung pembiayaan parti, apatah lagi PRU15 masih belum berakhir apabila enam lagi negeri belum membubarkan DUN masing-masing.

Selain itu, UMNO dan BN juga memerlukan dana bagi mengharungi PRU16 akan datang. Tanpa dana yang kuat, parti sukar untuk bergerak, mengadakan program untuk rakyat atau membantu rakyat.

Sebelum ini, UMNO tidak mempunyai masalah dari segi dana politik kerana apabila parti itu menerajui negara, banyak yang sudi untuk membantu baik dari dalam mahupun luar negara.

Dan tak mustahil, Tengku Zafrul pula dilantik sebagai Bendahari BN sementelah hubungan Zahid dan Hishammuddin tak berapa nak ‘ngam’ sekarang ini.

Azalina pula adalah seorang wanita yang cukup lantang sebelum ini dalam soal undang-undang negara. Beliau juga yang mencabar Ismail Sabri kerana gagal menggunakan kedudukan untuk menyelamatkan Najib.

Apabila diberi tugas di Jabatan Perdana Menteri Urusan Undang-undang dan Reformasi Institusi, maka di bahu beliau diharapkan dapat menyelesaikan hal-hal berkaitan dengan kes-kes dakwaan terpilih yang dihadapi para pemimpin UMNO.

Isu Hakim Nazlan Mohd Ghazali, siasatan terhadap Zeti Akhtar Aziz dan suaminya yang dikatakan mempunyai ‘kepentingan’ dengan kes-kes berkaitan 1MDB.

Begitu juga dengan kes Adib, juga diharapkan agar Azalina dapat mencari keadilan terbaik untuk anggota bomba tersebut yang kini semakin dilupakan, walaupun berdepan cabaran besar untuk meyakinkan barisan Kabinet yang majoritinya adalah dari PH.

Apapun ini hanyalah kemungkinan mengapa mereka menjadi pilihan untuk bergandingan dengan Zahid, Tok Mat Hasan dan Khaled Nordin dalam Kabinet Anwar berdasarkan pemikiran dangkal aku.

Bak kata Razali Ibrahim, orang UMNO jangan seronok sangat kerana sekarang mereka cuma ada 30 kerusi dan lima menteri dalam Kabinet. Bila-bila masa sahaja boleh hilang!

Tak gitu?

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan