27.9 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Dengarlah suara rakyat – Annuar

Majoriti BN merosot hampir separuh di DUN Tioman manakala majoriti PN di Padang Serai dua kali ganda majoriti dimenangi PH dalam PRU14.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

“DENGARLAH suara rakyat. Apabila padang ranap dan pulau hampir tenggelam,” itu pesanan ringkas daripada Tan Sri Annuar Musa yang dipercayai ditujukan kepada pimpinan Barisan Nasional (BN).

Ia susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang semalam.

Dalam PRU-15 yang tertangguh itu, undi untuk BN merosot hampir separuh di DUN Tioman manakala majoriti Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Padang Serai pula dua kali ganda majoriti yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14.

Calon PN di Padang Serai Datuk Azman Nasrudin, menang besar dengan majoriti 16,260 undi manakala calon BN di DUN Tioman Datuk Seri Mohd Johari Hussain menang dengan majoriti tipis 573 undi.

Annuar antara pemimpin UMNO yang sebelum ini lantang menolak BN bekerjasama dengan PH serta Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, beliau turut meluahkan rasa hati mengenai igauan buruk susulan kekalahan teruk BN dalam PRU-15 pada 19 November lalu dan meminta agar kepimpinan parti untuk mendengar suara rakyat dengan berundur.

Namun demikian, Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu menyifatkan tindakan sesetengah pihak mempertikai pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah sesuatu yang tidak wajar.

Advertisements

Beliau berpandangan, proses pelantikan telah selesai dan kuasa melantik seorang anggota Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri yang pada hemat Yang di-Pertuan Agong mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat adalah kuasa mutlak Seri Paduka.

Sementara itu, catatan ringkas Annuar itu mendapat 2,400 komen daripada warganet dan rata-rata mereka menyatakan sokongan dan harapan.

Tidak kurang juga ada yang memberi cadangan agar Annuar bertanding untuk jawatan Presiden UMNO selepas ini.

“Tan Sri cabar jawatan tertinggi dalam pemilihan akan datang, kami akan menyokong,” kata Masrizal Masrizal.

“Tan Sri join PN, pasti akan melengkapkan satu sama lain,” kata Norbidawimunir Arshad.

John Esmael pula berkata, mereka tidak dengarlah Tan Sri, yang penting dapat kuasa dan kes boleh ‘kautim’. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan