24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Zahid kongsi pesanan Pak Su Mid sebagai pedoman

Pertemuan itu tidak disebarkan secara umum kerana tidak mahu dilihat mahu mengambil manfaat untuk tujuan politik.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

“SESIAPA yang tidak membaca al-Quran bermakna dia benci Allah kerana mereka tidak teruja untuk membaca pesanan-pesanan yang disampaikan Allah kepada hamba-Nya.”

Itulah antara pesanan Allahyarham Pak Su Mid, seorang ulama tersohor di Kedah yang disampaikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam pertemuan terakhir mereka.

Zahid berkata, Pak Su Mid atau nama sebenarnya Abdul Hamid Ismail, 96, juga adalah guru beliau dan pertemuan itu berlangsung sebelum Allahyarham meninggal dunia pada Jumaat lalu akibat sakit tua.

Beliau berkata, pertemuan itu tidak disebarkan secara umum kerana tidak mahu dilihat mahu mengambil manfaat pertemuan tersebut bagi tujuan politik.

Sedangkan menurut beliau, ia adalah pertemuan yang berlaku kerana limpah kurnia dari Allah SWT jua untuk pedoman diri dan perjuangannya sebagai seorang yang diletakkan untuk memimpin parti ketika ini.

“Saya merasa sangat sedih dengan pemergian ulama besar yang dikenali ramai di Malaysia Pak Su Mid Kuala Nerang atau nama sebenarnya Tuan Guru Abdul Hamid Ismail yang digelar sebagai Arifbillah oleh para ulama Jumaat lalu dalam usia 96 tahun.

“Meskipun agak terlewat namun saya mahu menukilkan rasa kehilangan yang sangat besar terutama kepada diri saya khususnya sebagai seorang yang pernah mendapat ilmu yang disampaikan oleh beliau.

“Alhamdulillah saya dengan izin Allah pernah berjumpa dengan Allahyarham dan masih lagi ingat segala nasihat dan pesanan arwah Allahyarham semasa bertemu tempoh hari,” katanya dalam Facebook hari ini.

Zahid berkata, banyak pesanan-pesanan yang disampaikan oleh Pak Su Mid namun pesanan di atas antara paling terkesan dan menyentuh hatinya.

Advertisements

“Sukar untuk mencari ulama yang jujur di dalam berdakwah di mana menjalani kehidupan yang sangat zuhud tidak mengejar harta benda dunia apatah lagi mengejar kedudukan atau kuasa.

“Mari kita hadiahkan Alfatihah untuk Allahyarham Pak Su Mid semoga menambahkan lagi kemuliaan dan meninggikan lagi kedudukannya di sisi Allah,” katanya.

Jumaat lalu, Allahyarham Abdul Hamid meninggal dunia kira-kira pukul 6 petang di sebuah hospital swasta di Alor Setar.

Menurut Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Kuala Pai Bukit Tembaga, Kuala Nerang.

Pak Su Mid dilahirkan pada 1926 di Jerlun dan terkenal dengan kata-kata hikmahnya yang disampaikan secara mendalam dan penuh kiasan.

Antara amalan Allahyarham ialah tidak pernah meninggalkan puasa sunat sejak 30 tahun lepas dan sering berwuduk.

Antara kitab yang menjadi rujukan Pak Su Mid ialah Hilyatul Auliyak, Futuhat Makkiyah Ibn Arabi dan Khozinatul Asror.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan