31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Hafiz, hafizah antara calon yang ditampilkan PN

PN tampilkan calon-calon anak muda yang segar dan benar-benar berkualiti agar mampu menjadi jurubicara golongan tersebut

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERIKATAN Nasional (PN) terus membuktikan komitmen dalam mengangkat suara anak muda ke tahap lebih tinggi menerusi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN akan menonjolkan calon anak muda yang segar dan benar-benar berkualiti agar mampu menjadi jurubicara kepada suara anak muda di luar sana.

“Kami mahu mengangkat suara anak muda ke tahap lebih tinggi! Inilah komitmen kami di Perikatan Nasional,” katanya dalam Facebook hari ini.

Dalam hantaran berkenaan, beliau turut berkongsikan lima calon muda berusia lingkungan 27 hingga 33 tahun bagi lima Parlimen.

“Suka saya kongsikan berkenaan 5 calon yang telah saya umumkan tempoh hari.

Calon pertama yang dikongsikan beliau ialah bagi kerusi P.102 Bangi, Muhammad Nazrul Hakim Nazir berusia 27 tahun.

“Menarik anak muda berusia 27 tahun ini telah menghafal 30 juzuk Al Quran. Seawal usia 25 tahun beliau telah pun mendapat kepercayaan Menteri Hal Ehwal Agama di bawah Kabinet pimpinan saya iaitu YB Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri sebagai Pegawai Khas beliau.

“Pemilihan graduan undang-undang syariah USIM ini yang sangat mesra dengan anak muda sebagai calon semestinya menggambarkan betapa serius kami di Perikatan Nasional mahu mengangkat suara anak muda.

Bagi calon kedua kerusi P.118 Setiawangsa, Nurul Fadzilah Kamaluddin berusia 33 tahun.

“Hebat peguam wanita muda ini. Seorang “Best Student” sejak zaman persekolahan sehingga ke zaman universiti.

“Bukan sahaja cemerlang dari aspek pendidikan bahkan Ketua Serikandi Muda Bersatu ini juga sangat aktif dalam berpersatuan dan aktiviti kesukanan. Beliau merupakan pensyarah sambilan di UIA dan juga pengacara TV Al Hijrah bagi slot Bicara Fail Syariah.

“Selain itu beliau seperti saudara Nazrul tadi telah pun menghafal 30 Juzuk Al Quran. Sememangnya inilah pakej wanita muda yang harus diketengahkan.

Bagi calon ketiga menurut Muhyiddin ialah membabitkan P.106 Damansara iaitu Lim Si Ching, berusia 30 tahun.

“Anak muda lepasan Birmigham City University ini terlibat aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan tanpa mengira bangsa. Aktif menjadi sukarelawan dalam pelbagai bentuk. Kemahirannya dalam pengurusan dan analisis menjadikan beliau aset masa depan yang harus diangkat.

Menurut beliau bagi calong keempat, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid, 30, pula di P.053 Balik Pulau.

“Pengalaman anak muda ini sebagai bekas Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi semestinya menjadi aset berharga beliau untuk menabur bakti kepada masyarakat.

“Diharap graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari Aberystwyth ini akan meneruskan semangat beliau sebagai aktivis masyarakat dalam menabur bakti kepada penduduk Balik Pulau selepas dipilih sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Calon kelima pula kata Muhyiddin ialah bagi kerusi P 041 Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad.

“Seorang pemegang ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Pembangunan Islam di USM ini boleh menjadi inspirasi kepada wanita muda. Terlibat aktif dalam hal ehwal agama di Pulau Pinang selain aktif dalam aktiviti kemasyarakatan terutama yang berkaitan dengan wanita muda.

“Insya-Allah beliau mampu memperkasa pengurusan Islam di negara ini selaras dengan bidang kepakarannya jika dipilih sebagai Ahli Parlimen.

Menurut Muhyiddin, selain daripada lima orang ini masih ramai calon anak muda berwibawa yang PN tampilkan.

“Apabila melihat wajah anak muda ini hati saya tersentuh. Saya melihat mereka ini bukan dari kaca mata seorang pemimpin sahaja tetapi juga seorang abah yang tersentuh dengan kesungguhan anak-anak yang ingin berbakti kepada masyarakat dan negara.

“Inilah wajah-wajah yang akan meneruskan perjuangan murni demi rakyat di hari muka. Semoga Allah SWT memudahkan urusan kalian. Selamat berjuang!

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan