25.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, November 29, 2022

Pegawai imigresen ditahan terbabit sindiket seludup warga asing

Sindiket ini dipercayai mengenakan bayaran antara RM5000 hingga RM6000 kepada setiap warganegara asing.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan selepas didapati cuba menyeludup masuk warga asing ke negara ini menerusi serbuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) semalam.

Difahamkan dalam serbuan pukul 7.45 malam itu, pegawai berusia 31 tahun ditahan bersama enam lelaki warganegara India berusia 20 hingga 42 tahun.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, penahanan itu sekali gus menumpaskan satu sindiket penyeludupan warga asing yang dikesan beroperasi sejak 1 April lalu.

“Operasi berkenaan dilakukan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Pegawai Imigresen Lapangan Terbang KLIA2.

“Siasatan awal mendapati, pegawai imigresen yang bersubahat akan menurunkan cop ke atas pasport tanpa merekodkan perjalanan warga asing tersebut ke dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Baca juga:   Bantuan khas RM700 penjawat awam dibayar esok

“Sindiket ini dipercayai mengenakan bayaran antara RM5000 hingga RM6000 kepada setiap warganegara asing.

“Modus operandi sindiket adalah menawarkan e-visa palsu kepada warga asing berkenaan untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Khairul Dzaimee lagi, mereka cuba memasuki negara ini untuk bekerja tanpa pas yang sah serta mengelakkan bayaran levi selain sindiket juga akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, program lawatan serta sejumlah wang bagi menunjukkan seolah-seolah mereka adalah pelancong tulen.

“Semua warga asing berkenaan ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966, kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah.

Baca juga:   Petugas Imigresen didakwa pecah amanah

“Pegawai berkenaan pula akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, setelah perintah reman diperolehi,” katanya.

-EDISI9 

Wartawan

Terkini

Tiga maut dalam nahas kereta bertembung van

TIGA rakan yang bekerja sebagai tukang gunting rambut maut selepas Proton Wira dinaiki hilang kawalan lalu bertembung sebuah van...

Lagi Artikel Berkaitan