30.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Noh gugur, Khairuddin, Che Abdullah wakili BN

Mesti Baca

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar sah digugurkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Tanjung Karang dan tempatnya digantikan oleh Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Karang, Datuk Habibah Yusof.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjadi Ahli Parlimen Tanjung Karang selama empat penggal sejak 1995 lalu.

Sementara itu, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali serta bekas Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi pula akan bertanding mewakili BN.

Khairuddin akan mempertahankan kerusi Kuala Nerus yang dimenangi beliau atas tiket Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu manakala Che Abdullah mempertahankan kerusi Parlimen Tumpat.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, turut dicalonkan ialah Datuk A Kohilan Pillay dari MIC untuk bertanding di Parlimen Batu.

Tiga lagi calon ialah ADUN Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli bagi Parlimen Jempol, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah) serta Pengerusi MCA Bahagian, Datuk Chew Yin Keen yang akan bertanding di Bandar Tun Razak.

Advertisements

“Daripada tujuh kawasan ini, dua kawasan iaitu Tumpat dan Kuala Nerus menyaksikan BN menampilan dua calon secara direct candidate atas sifat keterbukaan dan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dengan pengumuman tersebut menjadikan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh BN di peringkat Parlimen ialah sebanyak 178 kerusi.

“BN yakin calon-calon yang dikemukakan dengan pelbagai latar belakang dan kelayakan, insya-Allah mampu untuk menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak,” katanya.

Semasa pengumuman calon pada Selasa lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mengumumkan calon bagi ketujuh-tujuh kawasan tersebut.

Proses penamaan calon bagi PRU-15 akan berlangsung pada Sabtu, 5 November 2022 bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi manakala hari pengundian pada 19 November. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Agong, Permaisuri zahir rasa sedih tragedi nahas helikopter TLDM

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi nahas dua...

Lagi Artikel Berkaitan