31 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 1, 2022

Khairuddin calon BN di Kuala Nerus? Biar betul…

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu dikatakan akan menyertai UMNO dalam masa terdekat selepas meninggalkan Pas pada Mac lalu.

Mesti Baca

BEKAS Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali dilapor akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus itu yang meninggalkan Pas pada Mac lalu dikatakan akan menyertai UMNO dalam masa terdekat.

“Pemilihan Khairuddin sebagai calon BN di Parlimen itu mengejutkan ahli dan pemimpin UMNO di Parlimen tersebut walaupun beliau sering berceramah atas pentas UMNO sejak kebelakangan ini,” lapor Utusan Malaysia hari ini.

Sebelum ini, dua nama disebut-sebut sebagai calon BN di Parlimen berkenaan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusoff.

Baca juga:   PM yakin BN dapat bentuk kerajaan baharu dengan GPS

BN dijadual mengumumkan calon yang akan bertanding dalam PRU-15 malam ini.

Media itu menyebut, pemilihan Khairuddin yang juga bekas Menteri Perladangan dan Komoditi diputuskan oleh pucuk pimpinan UMNO Pusat memandangkan nama beliau tidak pernah dicadang oleh UMNO Bahagian Kuala Nerus atau Perhubungan UMNO Negeri.

Difahamkan pemilihan Khairuddin dapat menarik lebih ramai pengundi Pas di kawasan itu.

Ini kerana, bekas pemimpin Pas itu masih mempunyai pengaruh dalam kalangan ahli-ahli Pas walaupun mengumumkan berhenti menjadi ahli Pas pada Mac lalu.

Bagaimanpun difahamkan pemilihan Khairuddin itu menimbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli dan pemimpin UMNO di Parlimen tersebut yang mahu pemimpin mereka dipilih sebagai calon.

Baca juga:   Zahid nafi berunding dengan GPS bentuk kerajaan bersama PN

Sejak kebelakangan ini, bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu telah berkempen secara terbuka mengajak ahli-ahli dan penyokong Pas agar memberi undi kepada BN bagi mengelak kemenangan Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang menganggotai Pas sejak 1989 telah memegang beberapa jawatan utama dalam parti dengan jawatan terakhir sebagai Setiausaha Majlis Ulama Pas pada 2020, namun telah digugurkan sebelum membuat keputusan meninggalkan parti itu pada Mac lalu.

Pada PRU-14 lalu, Khairuddin memenangi kerusi Parlimen Kuala Nerus selepas mendapat 37,974 undi mengetepikan calon BN, Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang memperoleh 29,527 undi dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdullah Muhamad (4,604 undi).

Baca juga:   Tiba masa UMNO, BN abai golongan 'opportunist', 'warlord'

Wartawan

Terkini

Bendera Israel, Malaysia: Kesal video akhir 2019 dimanipulasikan

NOTA Umrah DIY berasa kesal dan kecewa apabila video dari hantaran pihaknya di media sosial memaparkan video bendera Israel...

Lagi Artikel Berkaitan