29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Anwar perlu fokus isu ekonomi, rakyat bukan hal populis

Cadangan mengecilkan saiz Kabinet juga perlu dikaji kerana ia boleh menjeret leher Perdana Menteri Ke-10 itu sendiri

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh SARFARIZMAL SAAD

FOKUS terpenting bagi Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang ini adalah sektor ekonomi.

Bagaimana ia mampu mencerakinkan perkara yang kurang penting dengan yang lebih penting atau perlu dilakukan terlebih dahulu dalam jangka masa yang amat singkat ini.

Perdana Menteri juga sewajarnya mempunyai barisan pasukan yang berpegang kepada prinsip asas penubuhan kerajaan iaitu atas perkenan Yang di-Pertuan Agong agar sebuah kerajaan campuran yang mendahulukan untung nasib rakyat dan kemajuan negara, bukan sibuk untuk membalas api kesumat dendam di dada.

Tugas berat buat Anwar agar dapat membentuk dan memastikan setiap menteri, timbalan menteri dan pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilantik memiliki sudut pandang yang selari dengan titah Seri Paduka Baginda dan sandaran jajaran yang di bawa oleh Anwar sendiri selaku Ketua Kerajaan.

Tidak boleh dinafikan, kelembapan ekonomi global 2023 dan halangan-halangan struktural yang menjejaskan kualiti kehidupan rakyat dan membelenggu negara untuk kekal berdaya saing antara dua perkara terpenting dalam sektor ekonomi yang harus dibereskan oleh Kabinet Anwar.

Anwar Ibrahim ketika menghadiri perhiimpunan Jabatan Perdana Menteri.

Suka atau tidak, Anwar sudah harus memberhentikan apa jua bentuk populisnya yang sedang menjadi bualan dan hiasan di media sosial sejak daripada jam beliau dinobatkan sebagai pengganti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tempoh hari.

Bagi menjuarai dua isu ekonomi yang cukup besar dan penuh kompleksiti ini, Anwar perlu mengakui dan menyedari bahawa beliau memerlukan pasukan yang kuat dan besar.

Idea asal untuk mengecilkan saiz Jemaah Menteri nampaknya akan memberi sedikit gangguan terhadap tugas harian Anwar tidak lama lagi.

Ya, kita faham bahawa tujuan untuk mengecilkan saiz Kabinet bagi mengurangkan kos perbelanjaan negara berbanding sebelumnya.

Namun, cadangan itu hanya dapat membantu sekelumit permasalahan yang mungkin populis di media sosial, namun secara praktisnya agak kurang memberi impak yang lebih besar.

Kos pengurusan atau pentadbiran di negara kita sudah tersedia besar kerana jumlah penjawat awam dan lain-lain proses operasi harian pentadbiran kerajaan yang terpaksa kita lakukan tanpa noktah.

Malahan, sekiranya langkah untuk mengecilkan saiz Jemaah Menteri diambil, maka bebanan tugas dan tanggungjawab bagi seseorang menteri dan timbalan menteri itu akan meningkat berlipat kali ganda.

Bukankah ini akan memaksa kita untuk membuat tambahan tenaga kerja dan kepakaran di dalam kementerian tersebut? Jika ini berlaku, bukankah ia turut melibatkan penambahan kos juga di akhirnya?

Apatah lagi dalam mendepani dua cabaran utama ekonomi tersebut, kerajaan tiada pilihan lain, melainkan ia memerlukan pelaksanaan yang berkesan dan perlu bersifat transformatif serta rentas kementerian.

Bagaimana perkara itu akan berlaku sekiranya jumlah kementerian dikecilkan semasa fungsi kementerian berasingan didambakan?

Krisis ekonomi 2023 memperlihatkan kepada kita bahawa tiada cabaran merupakan milik mutlak satu kementerian sahaja.

Penyusunan semula jentera kerajaan yang membolehkan koordinasi perlaksanaan yang berkesan amat diperlukan, dan ini berada di bawah ‘batu jemala’ memanda Perdana Menteri itu sendiri.

Itu tidak lagi kita membicarakan tentang birokrasi yang menjadi musuh tradisi zaman berzaman dalam kehidupan rakyat kita di Malaysia.

Suka atau tidak, suatu semakan secara menyeluruh mengenai perkara ini wajar diambil agar tiada perkara yang terlalu merumitkan rakyat diperlukan dalam prosedur kerajaan semasa.

Apapun yang pastinya cabaran ekonomi di tahun 2023 amat besar dan genting bagi kita semua.

Kualiti kehidupan rakyat bergantung kepada bagaimana kerajaan mengurus negara ini dalam mendepani krisis ekonomi tersebut.

Dalam hal ini, saiz Jemaah Menteri yang sering menjadi bualan awal Perdana Menteri Ke-10 itu harus disemak semula agar ia tidak menjerat leher sendiri.

Walaupun dengarnya cukup disenangi para pelayar media sosial, namun adakah ia benar-benar memberi impak yang terbaik untuk sebuah keluncuran kerajaan yang lebih baik buat kita semua?

Selamat maju jaya Perdana Menteri Ke-10!


  • Penulis adalah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA). Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan