28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia semarak inovasi, kreativiti

Kerajaan juga berharap usaha tersebut akan mewujudkan golongan pemikir yang dapat menghasilkan produk atau perkhidmatan untuk dikomersialkan, sekali gus membantu negara memperkasa ekonomi berasaskan inovasi.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

RUANG Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia mampu menyemarakkan budaya inovasi dan kreativiti, sekaligus lebih ramai individu bergiat dalam bidang tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kerajaan juga berharap usaha tersebut akan mewujudkan golongan pemikir yang dapat menghasilkan produk atau perkhidmatan untuk dikomersialkan, sekali gus membantu negara memperkasa ekonomi berasaskan inovasi.

Menurut beliau, selain mewujudkan kekayaan baharu, agenda STI negara juga disasarkan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam serta menyerlahkan keupayaan negara di peringkat antarabangsa.

“Agenda STI negara dipacu oleh Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang ingin menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030 dan seterusnya menjadi antara pencipta teknologi dunia.

“Justeru, Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia diharap dapat menyemarakkan budaya inovasi dan kreativiti agar lebih ramai Keluarga Malaysia bergiat dalam bidang STI, dan mendukung agenda DSTIN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Bera di Balairaya Felda Bukit Puchong, Triang Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menyeru kepada institusi-institusi korporat untuk turut memberi sokongan kepada Kerajaan dan bekerjasama dengan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sebagai ejen inovasi sosial yang menyokong pembangunan inovator akar umbi.

Menurut beliau, inovasi sosial tidak seharusnya dilihat sebagai projek atau inisiatif sekali sahaja (one-off) kerana perlu disokong oleh minda keusahawanan agar proses menjana sumber baharu sentiasa berkembang, selari dengan pertumbuhan organisasi dan daya saing pasaran yang mampan.

“Konsep Inovasi Sosial semakin meraih perhatian dan minat yang amat ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Perkembangan inovasi sosial di Malaysia juga adalah amat menggalakkan dan kita turut dapat melihat peningkatan dalam bilangan perusahaan sosial.

“Kerajaan turut mengajak inovator akar umbi, membantu membangunkan bidang inovasi negara secara terangkum dalam semangat Keluarga Malaysia dengan menjadikan Inovasi Sosial sebagai satu platform yang penting.

Malah beliau mengharapkan agar muncul lebih banyak idea STIE yang bukan sekadar menarik tetapi juga berdaya maju melibatkan teknologi automasi, pembelajaran mesin dan data raya (big data), kepintaran buatan (AI), teknologi robotik serta Internet benda (IoT) sehingga mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat setempat.

“Dengan inovasi di peringkat serantau dan tempatan dijadikan tumpuan, inovasi sosial dapat dipupuk menggunakan pendekatan yang berbeza menerusi pembangunan inkubator (inovasi) sosial seperti program Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia.

Advertisements

Malah menurut beliau, inovasi sosial juga berpeluang menyelesaikan isu sosial yang mendesak kerana potensinya mewujudkan peluang pekerjaan melalui pasaran baharu yang boleh dibangunkan daripada idea inovator akar umbi.

“Ketidaktentuan ekonomi dunia menjadikan inovasi sosial semakin penting pada masa kini dalam merangsang pasaran sosial yang lebih dinamik, inklusif dan mampan.

Ini kerana menurut beliau, pemulihan dalam pertumbuhan negara bagi tahun 2022 bukanlah semata-mata berkait dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sahaja tetapi juga pembangunan yang terangkum daripada semua aspek.

“Ternyata, bahawa inovasi sosial mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan dalam ekonomi bandar dan desa selain dapat mengetengahkan inovasi tradisional sebagai satu punca ekonomi yang berdaya saing.

“Saya difahamkan, seramai 6,000 inovator akar umbi telah dibantu sejak tahun 2012 melalui pendanaan pembangunan inovasi berteknologi dan automasi, pemilikan paten, bimbingan kapasiti diri, penubuhan syarikat dan diffusion produk melibatkan pelaburan kewangan Kerajaan melalui MOSTI sebanyak lebih RM50 juta.

“Saya berharap melalui penyediaan platform seperti Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia ini akan menggalakkan lebih ramai inovator akar umbi tampil dengan inovasi dan teknologi yang boleh dikomersialkan,” katanya.

Untuk rekod, sempena program berkenaan berlangsungnya sesi pertukaran surat hasrat kerjasama antara YIM dan Universiti Malaysia Pahang dalam penyediaan latihan dan pembangunan kapasiti bidang inovasi kepada komuniti di kawasan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia, Bera, Pahang.

Pembangunan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia, Bera, Pahang yang dibangunkan oleh MOSTI melalui YIM akan memberi peluang kepada masyarakat untuk menjadi lebih celik terhadap teknologi terkini.

Selain itu, program ini dapat menjana pendapatan masyarakat setempat berasaskan ekosistem 10-10 STIE (Langganan Padanan Perniagaan dan Perkongsian Ekonomi) yang menyasarkan golongan pelajar, belia, peniaga kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula.

Melalui Ruang Reka STIE ini, komuniti setempat dapat menggunakan Makmal Reka Bentuk, Makmal Komputer, Sudut Idea, Sudut Teknologi, Sudut Inovasi, Digital Studio dan Ruang Latihan untuk menimba dan meningkat pengetahuan serta pembangunan kapasiti masyarakat di sekeliling kawasan ini.

Semua Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia yang dibangunkan boleh diakses secara percuma oleh sesiapa sahaja yang ingin memanfaatkan kemudahan yang disediakan Kerajaan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan