28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

PM jamin surat 12 menteri kepada Agong tak gugat kerajaan

Mereka cuma hantar surat kepada Agong agar Parlimen tidak dibubarkan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN masih absah dan tidak tergugat walaupun tindakan 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian mereka yang tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan hanya jatuh sekiranya terdapat mana-mana ahli Parlimen menarik sokongan seperti mana berlaku membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Katanya, tindakan 12 menteri daripada Bersatu dan Pas itu tidak menjejaskan keutuhan kerajaan kerana sokongan kepada seseorang Perdana Menteri adalah tertakluk pada majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat dan bukan anggota Kabinet.

Menurutnya lagi, tidak timbul isu keabsahaan kerajaan tergugat disebabkan surat berkenaan, sebaliknya perkara itu hanya dibangkitkan pihak yang tidak memahami undang-undang hingga menimbulkan kekeliruan.

“Dalam Perlembagaan, hilang sokongan adalah apabila ahli Dewan Rakyat menarik diri (daripada menyokong Perdana Menteri). Ini kena faham. Ramai yang tak faham Perlembagaan dan bila bercakap tak ikut Perlembagaan, itu yang orang jadi keliru.

“Sokongan itu adalah sokongan ahli Dewan Rakyat. Kalau mereka tarik diri dan kurang daripada 112, majoriti mudah, kerajaan tumbang seperti yang berlaku pada Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Advertisements

Beliau berkata demikian selepas majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan sekiranya terdapat menteri meletakkan jawatan, maka pelantikan baharu akan dibuat sejurus kemudian sebaliknya perkara itu tidak berlaku.

“Mereka cuma hantar surat kepada Agong agar Parlimen tidak dibubarkan. Kuasa bubar Parlimen adalah di bawah Agong.

“Jadi tiada kesan keabsahan kerajaan kerana ahli Parlimen masih menyokong kerajaan,” katanya seperti dilapor Kosmo!  

Minggu lalu, 12 menteri PN dalam Kabinet Ismail Sabri telah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Surat itu bagi memaklumkan pendirian menteri-menteri Kabinet daripada PN tidak bersetuju sekiranya PRU-15 diadakan tahun ini untuk memberikan tumpuan kepada rakyat bagi menghadapi Monsun Timur Laut.

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan