Tuesday, July 21, 2026

Peruntukan pengurusan veteran ATM meningkat – Hishammuddin

Dalam hantaran berlainan, beliau turut menyatakan mengambil berat maklum balas sebahagian anggota ATM tentang perbelanjaan untuk membeli pakaian seragam.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERUNTUKAN pengurusan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkat hampir 30 peratus berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM118.4 juta.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, dengan peruntukan berkenaan, ditambah pula peningkatan RM1.23 bilion untuk bajet Mindef tahun 2023, ia akan dimanfaatkan sebaik mungkin demi kesejahteraan Veteran ATM.

“… terutama tiga perkara yang terus menjadi fokus iaitu kenaikan Bantuan Sara Hidup (BSH), Elaun Kepada Pemegang Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan Pelarasan Pencen,” katanya dalam Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian sempena Karnival Tentera Darat di Taman Sri Lambak, Kluang, Johor, hari ini.

Dalam hantaran berlainan, beliau turut menyatakan mengambil berat maklum balas sebahagian anggota ATM tentang perbelanjaan untuk membeli pakaian seragam.

Menurut beliau, perkara itu telah disuarakan dalam sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan Malaysia.

“Hasilnya, sebanyak RM140 juta telah diperuntukkan menerusi Bajet 2023 khusus untuk membantu anggota mendapat pakaian seragam menerusi Program Khusus ‘Head To Toe’,” katanya.

Pada pembentangan Bajet 2023 Jumaat lalu, sejumlah RM17.4 bilion diperuntukkan kepada Mindef yang merangkumi pembelian dan penyelenggaraan aset ATM melibatkan RM4 bilion bagi tujuan peningkatan kesiapsiagaan pertahanan.

Hishammuddin dilaporkan berkata, bujet berkenaan akan memberikan fokus kepada empat teras utama.

Empat teras utama berkenaan melibatkan pembelian aset baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), penyelenggaraan aset ATM sedia ada, pembelaan kepada veteran tentera dan kebajikan kepada anggota tentera.

“Kita ucapkan terima kasih kerana berdasarkan Bajet 2023, peruntukan kepada Mindef berjumlah 17.37 bilion ini meningkat sebanyak 7.8 peratus berbanding tahun lalu RM1.23 bilion.

Tambah Hishammuddin, RM11.41 bilion bakal digunakan untuk perbelanjaan pengurusan iaitu meningkat 2.7 peratus dan RM5.96 bilion perbelanjaan pembangunan iaitu meningkat 18.3 peratus.

Sementara itu, Hishamuddin dalam satu kenyataan media berasingan berkata, Mindef memberikan fokus utama bagi melaksanakan perolehan beberapa jenis aset strategik antaranya Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan Medium Altitude Long Endurance – Unmanned Ariel System (MALE-UAS) bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Selain itu, perolehan kenderaan jenis A pacuan empat roda sebanyak 136 unit dan kenderaan jenis B pelbagai unit dengan nilai perolehan sebanyak RM2.049 bilion bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Katanya, perolehan kesemua aset itu dilaksanakan secara tender terbuka antarabangsa bagi memastikan ia dilaksanakan secara telus dan terbuka.

“Untuk perolehan dua MPA, kerajaan bersetuju dengan tawaran daripada syarikat Leonado manakala bagi perolehan tiga unit MALE-UAS, kerajaan telah memutuskan untuk berkontrak dengan syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI),” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan sebanyak RM590.56 juta diperuntukkan bagi membina dan menyelenggara Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT).

“Daripada jumlah ini, RM118 juta diperuntukkan khusus untuk selenggaraan RKMAT dan RM472.70 juta lagi untuk tujuan bina baharu RKMAT termasuk di Pangkalan Udara Butterworth.

“Selain itu, kita juga diperuntukkan RM47 juta bagi tujuan melaksanakan perolehan dua unit tambahan Hospital Medan sebagai persediaan mendepani bencana termasuk banjir dan ini tidak termasuk 50 unit ambulans baharu yang akan ditempatkan di beberapa kem ATM,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan