26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Harga maksimum ayam dan telur ayam kekal – KPDNHEP

Dengan harga maksimum disambung, kadar baharu pemberian subsidi kepada telur ayam sebanyak lapan sen sebiji kepada peladang.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN menyambung tempoh pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam berkuat kuasa hari ini, dengan harga maksimum ayam serta harga runcit telur ayam dikekalkan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof berkata, Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam itu disambung dengan kadar baharu pemberian subsidi kepada telur ayam sebanyak lapan sen sebiji kepada peladang.

“Ini berpunca daripada kenaikan kos pengeluaran dan menyebabkan keperluan penyelarasan semula harga telur ayam di peringkat ladang dan borong, untuk membolehkan harga runcit telur ayam dikekalkan tanpa sebarang kenaikan.

“Harga maksimum ayam pula adalah kekal bagi semua peringkat meliputi ladang, borong dan runcit,” katanya seperti dilapor Bernama, hari ini.

Menerusi Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, harga maksimum runcit ayam untuk Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard ditetapkan pada RM9.40 sekilogram manakala ayam super pada RM10.40 sekilogram.

Harga maksimum runcit telur ayam bagi gred A ditetapkan pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia. Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum ayam dan telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah.

Mengulas lanjut, Azman berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bekerjasama dengan KPDNHEP dalam membuat pemantauan untuk memastikan bekalan barangan dalam negara sentiasa mencukupi dan harganya terus kekal stabil.

Katanya, seramai 2,249 anggota penguat kuasa sudah digerakkan ke lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya seluruh negara untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari.

“Ini bagi memastikan setiap peniaga mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan selain memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menjual barang-barang harga terkawal termasuk ayam dan telur ayam melebihi harga yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya mana-mana pihak didapati gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan