29.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, July 14, 2024

Ingatkan umum bantuan rakyat RM4 bilion, rupanya…

Mesti Baca

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyangka Perdana Menteri akan mengumumkan pakej ekonomi dan bantuan rakyat bernilai RM4 bilion bersamaan jumlah penjimatan perbelanjaan kerajaan hasil penyasaran subsidi.

Sebaliknya, kata bekas Perdana Menteri sangkaan itu meleset apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mengumumkan penurunan harga telur yang melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM100 juta sahaja.

Walhal menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, penarikan balik subsidi diesel telah menyebabkan banyak barangan dan perkhidmatan mengalami kenaikan harga, termasuk tambang bas sekolah.

“Jadi, saya jangkakan Perdana Menteri nak umumkan satu mekanisme komprehensif untuk menurunkan harga barang.

“Jangkaan saya meleset,” katanya menerusi Facebook beliau malam ini.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pagoh itu tetap berterima kasih kepada Perdana Menteri yang menurunkan harga telur sebanyak 3 sen sebiji mulai hari ini.

“Katanya ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi diesel kepada rakyat.

“Cuma yang naik harga selepas penarikan balik subsidi diesel bukan telur sahaja. Banyak lagi barang dan perkhidmatan yang naik harga. Ini termasuk tambang bas sekolah,” katanya.

Advertisements

Kerajaan memutuskan supaya harga runcit bagi telur gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan sebanyak 3 sen sebiji.

Sehubungan itu, harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C akan turun masing-masing kepada 42, 40 dan 38 sen sebiji berkuatkuasa hari ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, penurunan harga runcit telur itu selaras dengan usaha kerajaan bagi mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Kelmarin, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri akan membuat satu pengumuman baik berkenaan barangan makanan esok (semalam).

Beliau berkata, pengumuman itu hasil kerjasama baik dan persefahaman antara pihak kerajaan dan sektor industri sebagai usaha membantu rakyat.

“Kita tunggu daripada Perdana Menteri esok. Intronya berkaitan dengan serba sedikit barang makanan yang lazim kita makan seharian, jadi ada berita baik daripada Perdana Menteri.

“Tetapi ia menunjukkan bahawa bila kita ada kerjasama yang baik dari sektor industri, pihak kerajaan dan ada persefahaman bahawa niat kita adalah untuk rakyat, jadi kita berupaya untuk buat pengumuman seperti yang akan diumumkan Perdana Menteri esok,” katanya kepada seperti dilapor media. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Buli siber: Letak tanggungjawab kepada pemilik akaun – Gobind

MENTERI Digital, Gobind Singh Deo, mencadangkan undang-undang baharu dipertimbang bagi meletakkan tanggungjawab kepada pemilik platform media sosial atas penyalahgunaannya,...

Lagi Artikel Berkaitan