KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mencadangkan 11 inisiatif bernilai RM6.8 bilion kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2023 yang dijadual akan dibentang esok.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, 11 inisiatif itu merangkumi tiga komponen iaitu guru, murid dan infrastruktur.
“Secara umumnya ada 11 inisiatif yang kita cadangkan kepada MOF. Ia melibatkan peruntukan RM6.8 bilion yang dibahagikan kepada tiga komponen guru, murid dan infrastruktur,” katanya menerusi rakaman video di Facebook, hari ini.
Menurut Radzi, dalam menuju ke arah pendidikan digital, guru harus dibekalkan dengan peranti bersesuaian bagi memudahkan tugasan.
“Selain itu, tumpuan transformasi pendidikan adalah memastikan setiap guru mendapat latihan sebaiknya terutama dalam inovasi serta kreativiti pembelajaran dan pengajaran,” katanya.
Sementara itu, menyentuh isu murid, Radzi berkata, antara yang diberi tumpuan adalah meningkat peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada kadar bersesuaian.
“Perkara utama adalah berkaitan RMT, di mana waktu ini kadar RM2.50 bagi sekolah di Semenanjung dikatakan tidak mencukupi.
“Justeru, kita telah mengemukakan kepada MOF untuk meningkatkan peruntukan RMT di semua sekolah seluruh negara,” katanya.
Jelas Radzi lagi, KPM juga berharap Bajet 2023 akan memberi tumpuan kepada usaha membaik pulih bangunan daif di sekolah yang berada pada skala tujuh dengan kadar segera.
“Antara perkara lain yang KPM cadangkan dalam Bajet 2023 termasuk memperluaskan bantuan awal persekolahan selain peruntukan untuk sekolah khas,” katanya.- Edisi 9