32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Padang Terap bakal jadi daerah termaju, tarik pelancong – PM

Infrastruktur tertentu akan disediakan, antaranya pembinaan jalan empat lorong dan menaik taraf kemudahan CIQ

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PADANG Terap akan menjadi salah satu daerah termaju di Kedah dan berupaya menarik kedatangan lebih ramai pelancong melalui pembangunan kawasan sempadan antara dua negara serta projek Kedah Rubber City (KRC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bercadangan menyediakan infrastruktur tertentu antaranya pembinaan jalan empat lorong serta menaik taraf kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) bagi pembangunan daerah berkenaan.

Menurutnya, persetujuan bagi membangunkan kawasan bersempadanan berkenaan juga telah dibuat melalui pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand yang ketika itu Prayut Chan-O-Cha yang mahu membangunkan kawasan bersempadanan yang menyumbang kepada nilai perdagangan antara dua negara.

“Kita akan bangunkan kawasan-kawasan bandar sempadan, kita akan bangunkan CIQ di sempadan dan kita akan bangunkan infrastruktur setempat.

“Oleh kerana daerah Padang Terap berhampiran sempadan terutama kawasan Durian Burung, kerajaan bercadang untuk membangunkan jalan raya empat lorong dari Pokok Sena ke Durian Burung di Padang Terap ini,” katanya semasa berucap pada program Kenduri Rakyat Keluarga Malaysia@Padang Terap, di Kedah, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ismail Sabri mengacau gulai daging batang pisang di gerai ‘kedohoq’ sempena Program ‘Kenduri’ Rakyat Keluarga Malaysia@Padang Terap, Kedah, hari ini.

Ismail Sabri berkata, ketika ini nilai dagangan antara Malaysia-Thailand berjumlah US$23 bilion dan kira-kira US$10 bilion disumbangkan oleh perdagangan melalui sempadan di kedua-dua negara.

Advertisements

Malah menurutnya, Padang Terap juga memiliki kawasan perindustrian KRC yang kini telah menerima pelaburan bernilai lebih RM3 bilion dan dijangka mampu mencapai nilai pelaburan mencecah RM10 bilion pada masa akan datang.

“Kerajaan akan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) membabitkan kos RM15 juta bagi melatih anak tempatan sebagai persediaan bekerja di Kedah Rubber City (KRC), Padang Terap.

“KRC ini adalah satu-satunya yang ada di negara ini. Sebanyak 6,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan dan sudah pasti akan memberikan manfaat kepada anak-anak tempatan.

“KRC akan menjadi salah satu daya tarikan selain pusat industri. Selain itu, kita juga akan segera naik taraf pencapaian internet di daerah ini bagi membantu penduduk setempat,” ujar beliau.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM80 bilion untuk memberi pelbagai bentuk subsidi kepada rakyat pada tahun ini bagi membantu mereka menghadapi kenaikan harga barang keperluan.

Menurutnya, walaupun Bajet 2022 memperuntukkan sebanyak RM32 bilion untuk tujuan itu, namun kerajaan terpaksa meningkat jumlah itu bagi mengelakkan rakyat terbeban.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan