Oleh MOHD AMIR HAFIZ
KIRA-KIRA 200 penduduk sekitar Alam Jaya meraikan sambutan merdeka dengan berarak dan berselawat di Masjid Taman Alam Jaya, Bandar Puncak Alam, Selangor pagi semalam sempena samnbutan Hari Kebangsaan 2022.
Mereka lengkap bertanjak dan berbusana Melayu berarak sambil berselawat di kawasan perkarangan masjid.
Penyelaras program yang juga merupakan Imam 1, Mohammad Haiqal Sulaiman berkata, sambutan itu julung-julung kali dianjurkan oleh Masjid Taman Alam Jaya yang mula beroperasi pada tahun 2021.
“Penduduk sekitar turut hadir meraikan sambutan merdeka di sini. Objektifnya untuk mengalih pandangan masyarakat terhadap cara menyambut hari merdeka.
“Menyambutnya dengan majlis ilmu dan berselawat lebih baik berbanding program berbentuk hiburan yang melalaikan.

“Objektif seterusnya untuk menanam semangat patriotisme dan seni warisan Melayu dalam kalangan anak-anak kita dan semoga mereka mengerti nikmat merdeka,” katanya.
Sambutan dimulakan dengan kuliah subuh khas bertajuk Melayu Itu Jasad, Islam Itu Nyawa, diikuti dengan Kem Remaja, Pameran Melayu dan Islam, pada sebelah petang hingga ke malam pula diadakan persembahan berkuda dan memanah, perarakan berselawat, persembahan silat, Qasidah Melayu dan Tausiah.
Program tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ketua Muwosalah Baina Ulama Dunia di Malaysia, Sayyidil Habib Abdullah bin Abdul Qadir Al-Habsyi sebagai tetamu khas.
Salah seorang pelajar, Nur Auni Mohd Amir, 13, berkata, dia berasa teruja dapat menyertai program yang pertama kali dianjurkan di masjid tersebut.
“Bila datang program ini terasa besar manfaatnya dapat melihat koleksi kitab-kitab Ulama Nusantara. Berasa syukur menikmati erti kemerdekaan dalam nilai agama,” katanya.
Pengerusi persatuan penduduk Doriz Khairul Nahar ,42, pula berkata, sebelum ini dia hanya menyaksikan sambutan merdeka di televisyen dan rata-ratanya berbentuk hiburan.
Jelasnya , Sambutan Alam Jaya Berselawat ini membuatkan dia berasa teruja meraikan hari Kemerdekaan dengan unsur-unsur keagamaan.
“Jarang jumpa program sambut merdeka macam ni. Elok banyakkan program seperti ini,” katanya. – Edisi 9