KERAJAAN negeri mengarahkan semua jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negeri mengibarkan Bendera Selangor separuh tiang bermula Sabtu ini hingga Isnin depan sebagai tanda penghormatan dan berkabung atas kemangkatan mendiang Ratu Elizabeth II.
Kibaran bendera separuh tiang itu diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada semalam selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim berkata, kibaran bendera separuh tiang itu diperkenan baginda bagi menzahirkan hubungan baik Sultan Selangor dengan Ratu Elizabeth dan menghormati kemangkatan Baginda Ratu pada 9 September 2022.
“Titah tersebut juga adalah sebagai tanda menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth yang telah mangkat di Istana Balmoral (Scotland) selepas 70 tahun menaiki takhta dan merupakan monarki yang paling lama bertakhta dalam sejarah United Kingdom (UK).
“Selaras dengan titah tersebut, MMKN yang bermesyuarat pada 14 September menjunjung titah dan mengarahkan agar semua jabatan dan agensi di Selangor mengibarkan bendera Negeri Selangor separuh tiang atas perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah,”katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pada 9 September lalu, Ratu Elizabeth II pemimpin yang paling lama berkhidmat dalam monarki Britain mangkat di usia 96 tahun, pada selepas memimpin negaranya sejak 70 tahun lalu. – Edisi 9