24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Kajian elaun PJM, kenaikan BSH untuk veteran ATM selesai

MINDEF sentiasa berusaha bertungkus lumus demi membela kebajikan Veteran ATM dengan sebaik mungkin.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) telah menyelesaikan kajian untuk membolehkan pemberian Elaun Kenangan buat penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan kenaikan jumlah Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada Veteran ATM tidak berpencen di bawah kategori B40 daripada RM300 sebulan kepada RM400 sebulan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dua cadangan untuk menambah baik kebajikan Veteran ATM itu telah pun dimajukan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk diluluskan.

Katanya, ia susulan penambahbaikan pencen terbitan dan penubuhan panel penasihat bagi mempertimbangkan permohonan bekas tentera untuk diiktiraf sebagai Veteran ATM yang telah diumumkan beliau pada Julai lalu.

“Ini bermakna bahawa antara kemahuan Veteran ATM, dua telah selesai dipenuhi, dua lagi telah selesai kajian di peringkat MINDEF.

“Ia tidak akan terhenti di sini. MINDEF sentiasa berusaha bertungkus lumus demi membela kebajikan Veteran ATM dengan sebaik mungkin dan perkembangan serta hasil usaha ini akan saya umumkan dari semasa ke semasa.

“Walau bagaimanapun, sekali lagi saya hendak ingatkan semua bahawa kemahuan Veteran ATM tidak hanya melibatkan perancangan di peringkat MINDEF sahaja, tetapi turut melibatkan perihal kewangan dan pentadbiran awam yang memerlukan pertimbangan MOF dan Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya menerusinkenyataan yang dikeluarkan di sini.

Advertisements

Hishammuddin memperincikan perkembangan terkini berkaitan usaha dan inisiatif diusahakan kepimpinan MINDEF bagi terus menambah baik kebajikan Veteran ATM.

Beliau menambah, kajian cadangan elaun PJM turut melibatkan bengkel yang diadakan awal Ogos lalu, dengan penglibatan daripada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Veteran TLDM, Persatuan Veteran TUDM, Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen.

“Terima kasih kepada wakil-wakil Veteran yang telah berkongsi input, membawa hasrat rakan-rakan Veteran yang lain serta meneliti setiap perincian bagi diangkat kepada MOF untuk persetujuan.

“Saya akan terus berhubung dengan Menteri Kewangan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dari semasa ke semasa bagi memastikan harapan kita ini dapat Insya-Allah dipenuhi.

“Juga penting untuk saya ingatkan, bagi Veteran ATM yang masih belum mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), segeralah mendaftar agar setiap inisiatif dan bantuan yang dilaksanakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan