KOTOR, MENJIJIKKAN !!
Begitulah keadaan sebuah kilang penyembelihan ayam di Cheras, Kuala Lumpur yang dikesan melakukan operasi dalam persekitaran yang kotor dan mengabaikan aspek kebersihan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook berkata, tindakan pemilik kilang ayam itu dibongkar hasil operasi bersepadu dilakukan pihaknya bersama agensi Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL), Indah Water Konsortium (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Dalam serbuan jam 1 pagi semalam, DBKL mendapati pusat penyembelihan ayam berkenaan mengabaikan aspek kebersihan.
“Pemeriksaan oleh 21 anggota penguatkuasa turut mendapati pusat penyembelihan ayam itu dalam keadaan tidak terurus dan kotor.
“Lantai dan dinding di ruang memproses ayam berkarat, berlumut dan berdaki hitam. Ia mungkin berpunca aktiviti sembelihan ayam yang dilakukan di dalam premis,” menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, semua pekerja atau pengendali makanan di premis itu tidak mendapatkan suntikan tifoid.
“Mereka turut gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri masing-masing kerana hampir semua pekerja adalah warga asing.
“Pusat penyembelihan ayam itu turut dikesan menjadi punca pencemaran apabila pemeriksaan lanjut mendapati tiada sistem penapisan sisa disediakan.
“Sisa penyembelihan dan darah ayam terus disalurkan ke longkang awam. Malah ayam mentah yang siap diproses diletakkan di atas lantai begitu sahaja.
“Susulan itu tindakan diambil pihak DBKL dengan mengeluarkan dua kompaun selain Notis Perintah Penutupan di bawah Akta Makanan 1983 membabitkan arahan pembersihan dan penambahbaikan,” katanya.- Edisi 9