24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Ahli Bersatu perlu jadi contoh teladan politik murni – Muhyiddin

Kekuatan Bersatu semestinya terletak di tangan ahli-ahlinya.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru ahli parti untuk sentiasa bersatu padu dan menjadi contoh teladan yang baik.

Bahkan menurut beliau, langkah berkenaan adalah dalam membentuk suatu budaya politik yang murni supaya parti tersebut dihormati oleh semua.

“Ini penting supaya parti kita terus kekal bersatu, beramanah dan bermaruah selaras dengan cogan kata parti.

“Walaupun baru menginjak usia enam tahun, Bersatu telah memberikan sumbangan yang besar dalam pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat.

“Kita telah berjuang melawan kleptokrasi, mewujudkan pemerintahan yang berintegriti dan bebas rasuah serta melaksanakan pelbagai program prihatin rakyat yang menunjukkan Bersatu berada di landasan perjuangan yang selari dengan matlamat penubuhan parti,” katanya dalam Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Ulang Tahun Keenam penubuhan Bersatu.

Ujar Muhyiddin lagi, kekuatan Bersatu semestinya terletak di tangan ahli-ahlinya.

“Sekiranya ahli-ahli parti terus istiqamah dalam menghayati semangat perjuangan parti dan terus mendokong matlamat dan perjuangan parti sepertimana yang termaktub dalam perlembagaannya, maka Bersatu akan terus melangkah gagah dalam menjulang obor perjuangan parti.

Advertisements

Menurutnya, ini termasuk mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang bebas rasuah, melaksanakan tadbir urus yang berintegriti, menegakkan sistem demokrasi berparlimen, memperjuangkan keadilan sosial dan menghormati doktrin pengasingan kuasa termasuk kebebasan badan kehakiman.

Selain itu tambah Muhyiddin, perjuangan Bersatu juga adalah bagi menegakkan Islam sebagai Agama Persekutuan, menghormati hak semua individu untuk mengamalkan agama masing-masing, mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah bagi semua kaum, memelihara hak-hak asasi rakyat, memupuk perpaduan dan keharmonian rakyat, mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara dan mendokong Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah prinsip-prinsip penting perjuangan parti yang terkandung dalam Perlembagaan Bersatu.

“Prinsip-prinsip ini mestilah diamalkan dan diperjuangkan oleh setiap ahli Bersatu. Ahli-ahli Bersatu mesti dikenali dengan prinsip-prinsip ini yang membezakan mereka dengan yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengingatkan ahli pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh ahli parti, terutamanya jentera parti di semua peringkat, supaya sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi pilihan raya.

“Insya-Allah, berkat usaha dan doa saudara-saudari semua, dokongan rakyat dan izin Allah SWT., Bersatu akan kembali menerajui kerajaan menerusi Perikatan Nasional (PN).

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan