27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tiada negara anggota Interpol sahkan keberadaan Jho Low

PDRM sudah memohon dan memperoleh red notice terhadap Jho Low daripada Interpol pada 2018.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat membuat permohonan ekstradisi ke atas ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low kerana tiada negara ahli Polis Antarabangsa (Interpol) dapat mengesahkan keberadaannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata PDRM sudah memohon dan memperoleh red notice (orang dalam buruan dikehendaki untuk pendakwaan) terhadap Jho Low daripada Interpol pada 2018.

Menurutnya, red notice yang dikeluarkan Interpol kepada 195 negara sebagai makluman dan mendapatkan maklumat daripada negara ahli Interpol mengenai keberadaan penjenayah dalam buruan.

“Sekiranya mana-mana negara ahli mengesan keberadaan penjenayah dikehendaki, Interpol negara berkenaan bertanggungjawab menyalurkan maklumat kepada negara yang memperoleh red notice bagi memohon proses ekstradisi.

“Setakat ini, permohonan ekstradisi ke atas Low Taek Jho tidak dapat dibuat memandangkan tiada negara ahli Interpol yang mengesahkan keberadaan suspek di negara mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujar Acryl Sani lagi, red notice ialah kategori yang hanya boleh diakses oleh agensi penguat kuasa negara ahli Interpol memandangkan suspek terbabit tidak memudaratkan keselamatan awam, berdasarkan penilaian Interpol.

Malah menurutnya, PDRM juga sudah memfailkan 13 pertuduhan di mahkamah terhadap Jho Low walaupun tanpa kehadirannya (in absentia) membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (IMDB).

Selain PDRM, beliau berkata, pihak berkuasa asing di Singapura dan Amerika Syarikat (AS) turut menjalankan siasatan terhadap Jho Low dan kedua-dua negara sudah memfailkan pertuduhan terhadapnya.

“Sehingga kini, usaha menjejaki Jho Low masih giat dijalankan dan segala maklumat yang diterima mengenai keberadaan suspek di negara asing, diteliti kesahihannya oleh PDRM, termasuklah menggunakan saluran kerjasama pihak berkuasa di negara berkenaan.

“PDRM amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung lokasi Jho Low dan boleh menyalurkannya melalui talian CCID Infoline 013-2111222 (WhatsApp sahaja) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Acryl Sani berkata, setiap maklumat yang diterima akan diteliti kesahihannya dan akan disalurkan kepada Interpol bagi mendapatkan bantuan pengesahan lanjut daripada negara ahli yang terbabit.

“PDRM kekal komited dalam memastikan Low Taek Jho ditahan untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Jho Low didakwa masih bersembunyi di China dan perkara itu didedahkan penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World’, Bradley Hope menerusi episod pertama program ‘Di Mana Jho Low’ yang disiarkan di platform aplikasi video YouTube, 31 Ogos lalu.

Jho Low berdepan saman AS$3.78 bilion atau RM16.82 bilion yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya.

-EDISI9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan