KERAJAAN akan menubuhkan beberapa jawatankuasa untuk meneliti dan mengkaji cadangan pindaan akta berkaitan serta syor hukuman gantian oleh Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dan kebolehlaksanaan penambahbaikan hala tuju sistem keadilan jenayah negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerajaan bercadang untuk membentangkan pindaan akta yang berkaitannya ketika sesi Mesyuarat Ketiga Parlimen Ke-14 bermula Oktober depan.
“Pelbagai pihak berkepentingan seperti kementerian atau jabatan dan pakar perundangan dijangka akan dilibatkan dalam proses ini,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) di Dewan Rakyat.
Kasthuriraani bertanyakan bilangan banduan akhir dalam penjara mengikut pecahan kaum, umur, jantina, status ekonomi, jenis kesalahan, kewarganegaraan serta usaha kerajaan menuju ke arah sistem ‘rehabilitative’ dan jangka masa pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, kerajaan bersetuju secara prinsip untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan diganti hukuman tertakluk budi bicara mahkamah, dengan keputusan dicapai selepas mendengar pembentangan pelaporan hasil kajian Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada 8 Jun lalu.
Dalam hal ini, pemansuhan hukuman mati mandatori membabitkan 11 kesalahan iaitu sembilan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan 2 kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Kerajaan akan meneliti dan melaksana kajian lanjut untuk menentukan hukuman gantian bagi kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati yang tertakluk pada budi bicara mahkamah bagi memastikan pindaan akta yang berkaitan mengambil kira prinsip ‘proportionality’ serta keperlembagaan mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, seramai 1,343 banduan sudah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah berdasarkan statistik Jabatan Penjara Malaysia setakat 5 Julai lalu, iaitu membabitkan seramai 62.3 peratus atau 849 banduan warganegara dan seramai 494 atau 36.7 peratus bukan warganegara.
Katanya, berdasarkan jumlah itu juga, banduan dijatuhkan hukuman mati kerana melakukan kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah sebanyak 67.2 peratus atau 903 banduan iaitu 506 orang banduan warganegara dan selebihnya 397 banduan bukan warganegara.
“Seramai 410 orang banduan iaitu 324 orang banduan warganegara dan 86 orang banduan bukan warganegara didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan serta selebihnya seramai 30 orang banduan didapati melakukan kesalahan di bawah lain-lain akta seperti Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Culik 1961,” katanya.-BERNAMA