34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Dakwaan ekonomi Malaysia tenat, pelabur lari adalah tersasar

Maka janganlah kita termakan dengan dakwaan bahawa syarikat asing tidak minat lagi dengan Malaysia.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEBARANG dakwaan mengatakan bahawa ekonomi Malaysia tenat, atau pelabur lari dan sebagainya, amatlah tersasar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden UMNO itu berkata, kerajaan di bawah Perdana Menteri dari Barisan Nasional (BN) dibantu oleh jentera dari parti itu telah dididik dengan cara dan budaya yang mementingkan rakyat membolehkan ekonomi negara lebih terpelihara.

Bagaimanapun menurut beliau, perkara itu bukanlah alasan untuk mendabik dada.

“Cabaran dijangka terus hebat. Tekanan inflasi sedunia juga dirasai di Malaysia. Saya selaku Perdana Menteri tidak boleh selesa hanya dengan angka pelaburan, KDNK dan sebagainya jika rakyat tidak merasai nikmat kek ekonomi dengan saksama.

“Maka sebab itu, saya tidak teragak-agak melakukan keputusan-keputusan drastik demi memastikan kesan inflasi pada tahap minima,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata demikian dalam slot Bicara Hati Perdana Menteri sempena Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Kerajaan, kata Perdana Menteri, telah membelanjakan subsidi dan bantuan tunai hampir RM80 bilion iaitu angka paling besar dalam sejarah.

Menurutnya, walaupun sesetengah keputusan dilihat kontroversi tetapi jika ia membantu rakyat, maka itulah keputusan yang tepat.

“Contohnya, hari ini harga ayam juga telah turun di bawah paras harga siling. Walaupun inflasi berlaku di Malaysia tetapi angka inflasi 3.4 peratus adalah yang paling rendah di Asia Tenggara,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata, tanpa campur tangan kerajaan tidak mustahil angka tersebut boleh melonjak tiga atau empat kali ganda.

“Ini yang saya sebutkan tadi. Saya dididik dengan cara dan budaya UMNO dan BN. Kita tidak teragak-agak melaksanakan keputusan yang berani dan tegas selagi ia membantu rakyat. Itu cara parti kita sejak turun temurun. Itulah juga cara saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini juga mewarisi semua masalah yang telah dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

“Ini bukan perkara yang mudah namun saya yakin dengan keupayaan wakil-wakil menteri BN kita yang ada dalam Kabinet hari ini untuk melakukan yang terbaik buat rakyat,” katanya.

-EDISI 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan