34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Sekatan ke atas Iran: Malaysia cari pendekatan lain

Sebagai permulaan, ia mungkin khusus kepada item-item yang dibenarkan di bawah mekanisma sedia ada.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA bersedia untuk membincangkan kaedah dan pendekatan lain bagi memudah cara urusan perdagangan dengan Iran yang kini berdepan dengan sekatan sehala, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, sebagai permulaan, ia mungkin khusus kepada item-item yang dibenarkan di bawah mekanisma sedia ada.

Beliau berkata, Iran merupakan adalah antara rakan dagangan penting Malaysia di rantau Asia Barat di mana pada 2021, negara itu adalah rakan dagang ketujuh besar Malaysia di Asia Barat.

Kata Perdana Menteri, jumlah dagangan dua hala pada 2021 bernilai RM2.63 bilion (USD0.64 bilion), peningkatan sebanyak 68.2 peratus dibandingkan pada 2020.

“Menyedari rintangan yang sedang dihadapi akibat kekangan daripada sekatan sehala ke atas Iran, Malaysia bersedia membincangkan kaedah dan pendekatan lain bagi memudahcara urusan antara kedua-dua pihak,” kata beliau.

Perkara itu antara perkara yang dibincangkan oleh Ismail Sabri ketika perbualan telefon dengan Presiden Iran, Sayid Ebrahim Raisi bagi menyampaikan penghargaan kepada pemimpin negara itu yang mengucapkan tahniah sempena Hari Kebangsaan Malaysia.

Ismail Sabri menegaskan, Malaysia tidak mengiktiraf mana-mana sekatan yang berbentuk sehala terhadap mana-mana negara.

“Kerajaan Malaysia hanya akan tertakluk kepada sekatan yang dilaksanakan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Walaupun begitu, berikutan pendedahan risiko susulan mempunyai transaksi dengan pihak di Amerika Syarikat, ia telah menimbulkan permasalahan dalam urusan transaksi perniagaan dan pembukaan akaun bagi warga Iran kepada sesetengah entiti Malaysia,” kata beliau.

Menurut Perdana Menteri, beliau berharap akan ada perkembangan positif segera melibatkan rundingan Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA).

“Ia secara tidak langsung akan membantu memudah cara urusan perniagaan dengan Iran selain menyelesaikan isu-isu lain termasuk isu perbankan dihadapi rakyat Iran,” kata beliau.

Menurutnya, rundingan terbaru telah diadakan pada 4 hingga 8 Ogos lalu di mana semua pihak terlipat tertumpu kepada memuktamadkan teks JCPOA yang diusulkan oleh Kesatuan Eropah (EU) selaku penyelaras rundingan.

“Iran telah mengemukakan komennya terhadap teks tersebut pada 15 Ogos 2022 manakala Amerika Syarikat telah mengemukakan maklum balasnya terhadap teks tersebut pada 24 Ogos 2022,” katanya.

Mengenai isu pemberhentian operasi Mahan Air ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ismail Sabri berkata, pihaknya sedang mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu refueling dihadapi Mahan Air.

“Saya mengambil maklum akan pemberhentian operasi Mahan Air ke Kuala Lumpur sejak 13 Ogos 2022 berikutan isu teknikal melibatkan refueling di KLIA.

“Kerajaan Malaysia berharap supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan Mahan Air dapat meneruskan operasinya ke KLIA secepat mungkin,” katanya.

-EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan