26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, December 2, 2024

Armada gesa prosiding batal kelayakan 4 ADUN dihentikan

Kerajaan Negeri Pulau Pinang seharusnya tidak melakukan perkara yang bercanggah dengan pindaan tersebut.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN Pulau Pinang diminta untuk menghentikan hasrat menyambung prosiding mahkamah bagi membatalkan kelayakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar Pakatan Harapan (PH) sebelum menyertai Perikatan Nasional (PN).

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, hal berkenaan kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan mendapati tindakan itu sama sekali tidak menjejaskan kelayakan seseorang sebagai wakil rakyat.

Menurutnya yang juga Ketua Penerangan Armada Bersatu Pulau Pinang itu, kerajaan negeri seharusnya tidak melakukan perkara yang bercanggah dengan pindaan tersebut demi menghormati persetujuan yang telah dicapai oleh kesemua 209 Ahli Parlimen yang mengundi pindaan tersebut termasuklah Ahli Parlimen dari DAP sendiri.

“PH khususnya DAP yang telah menyokong penuh pindaan tersebut di Dewan Rakyat perlu membuktikan komitmen dan melaksanakan pindaan yang sama di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

“Malah, kes yang melibatkan empat ADUN Pulau Pinang jatuh dibawah pengecualian pindaan Perlembagaan Persekutuan Artikel 49A. Parti yang dianggotai oleh ADUN Bertam dan Telok Bahang telah membuat keputusan dasar untuk menarik sokongan terhadap Pakatan Harapan.

“ADUN Seberang Jaya dan Sungai Acheh telah dipecat oleh Parti Keadilan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Advertisements

Ujar Harris Idaham lagi, pindaan Perlembagaan Persekutuan (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti telahpun diluluskan di Dewan Rakyat untuk memberi makna yang jelas berkenaan tindakan-tindakan yang boleh melucutkan seseorang itu daripada terus menjadi Ahli Parlimen.

“Bersatu menyokong penuh pindaan ini. Pindaan ini jelas menyatakan bahawa seseorang itu tidak gugur sebagai Ahli Parlimen sekiranya orang itu dipecat oleh Parti politik yang dianggotai.

“Antara lain, seorang Ahli Parlimen juga tidak gugur sebagai Ahli Parlimen sekiranya parti politik yang dianggotainya membuat keputusan dasar untuk menukar penjajaran dan sokongan terhadap sesebuah gabungan.

Terdahulu dalam satu kenyataan bersama, empat ADUN Pulau Pinang yang keluar daripada PH dan menyertai Perikatan Nasional (PN) mahu terus berkhidmat di kawasan masing-masing.

ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq; ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim dan ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim memaklumkan akan mengarahkan peguam untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap mereka bagi membolehkan melaksanakan tugas sebagai ADUN yang dipilih secara sah.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

ATPC kembang pasaran perubatan global di Indonesia

AGAPE ATP Corporation (ATPC) mengembangkan pasaran perubatan global di Indonesia menerusi tiga memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan institusi...

Lagi Artikel Berkaitan