POLIS mengesahkan telah menerima satu laporan berkaitan pergaduhan antara pelajar sekolah yang tular di media sosial sejak semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, DSP Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pergaduhan berkenaan melibatkan dua pelajar sekolah di Stadium Taman Kluang Barat, Kluang.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, ia dikatakan bermotifkan dari rasa tidak puas hati di dalam kelas.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.
“Polis Daerah Kluang akan terus komited memerangi kegiatan jenayah dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu tular di media sosial melibatkan kejadian pergaduhan antara dua pelajar perempuan dipercayai berlaku Stadium Kluang, Johor Bahru, Johor ketika berlangsungnya Kejohanan Olahraga MSSD Kluang kali ke-54.
Dalam rakaman berdurasi 31 saat yang dimuat turun Inforoadblock itu kelihatan seorang murid bertudung hitam memakai pelitup muka menyepak kepala dan bahagian badan seorang lagi pelajar yang memakai pakaian sukan berbaju biru.
Kawan mangsa juga cuba dilihat untuk melindungi mangsa terus ditumbuk dan disepak oleh pelajar memakai pelitup muka itu .
Pergaduhan itu berjaya dileraikan beberapa orang pelajar lelaki setelah melihat kejadian semakin tegang.
-EDISI9