29.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Isu kapal tempur TLDM: Najib persoal kemajuan projek zaman PH

4 Ogos lalu, PAC mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan TLDM.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

ISU kegagalan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) terus-menerus “panas” apabila balas membalas fakta, hujahan antara beberapa pemimpin parti politik, kerajaan dan juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh.

Isu berkenaan mula mencetuskan kontroversi apabila baru-baru ini dalam satu kenyataan PAC, kontrak projek LCS diberikan oleh kerajaan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) secara rundingan terus dan kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan.

Dalam satu hantaran terbaharu di Facebook, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan kapal pertama hanya dijadualkan untuk diserah kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada tahun 2019, iaitu selepas kerajaan bertukar tangan (Kerajaan BN kepada Kerajaan PH) selepas PRU14.

Malam menurut beliau, demi keadilan PAC juga perlu memaklumkan apakah tahap kemajuan projek pada Mei 2018 dan berapakan peningkatan kemajuan projek dari Mei 2018 hingga projek dibeku pada tahap 55.7 peratus pada akhir Sept 2019.

Selain itu, Najib menegaskan, PAC perlu menyatakan berapakah daripada jumlah pembayaran RM6 bilion setakat ini adalah dibayar dalam tempoh kerajaan PH.

“Pengerusi PAC kata tahap kemajuan projek ketika penamaan dan pelancaran kapal pertama pada Ogos 2017 adalah hanya sekitar 44 peratus. Dalam jawapan parlimen pada Oktober 2019 semasa projek dibekukan kerajaan PH, Mat Sabu kata tahap kemajuan projek adalah 55.7 peratus.

“Dalam tempoh 32 bulan sejak pembinaan bermula pada akhir tahun 2014 sehingga Julai 2017, tahap kemajuan projek ialah 44 peratus.

“… Tetapi dalam tempoh 26 bulan (termasuk 16 bulan bawah PH) dari Julai 2017 ke PRU14 hingga September 2019 ketika projek dibekukan kerajaan PH, kemajuan projek cuma bertambah 11.7 peratus ke 55.7 peratus seperti diberitahu Mat Sabu dalam jawapan parlimen dia.

“Kenapa pula semakin perlahan? Perlu ingat bahawa projek dilewatkan pada tahun 2018 selepas PRU14 sebab PH siasat, tukar hampir semua pengurusan tertinggi termasuk bos Boustead, pengerusi LTAT dan Panglima Tentera Laut sebelum keseluruhan projek dibekukan pada September 2019,” katanya hari ini.

Sambil menambah hujahan, Najib menyatakan projek terus dibekukan selama hampir tiga tahun sehingga kabinet kerajaan hari ini membuat keputusan untuk sambungkan projek pada April 2022.

Untuk rekod, 4 Ogos lalu, PAC mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan TLDM.

Kah Woh dalam kenyataannya berkata, jawatankuasa itu membentangkan laporan LCS itu selepas sembilan kali mengadakan prosiding bermula 18 November 2020 sehingga 8 Mac 2022.

Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan.

Dalam pada itu, Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tidak wajar menuding kepadanya berkait isu kegagalan perolehan LCS.

Menurut Presiden UMNO itu, beliau bukan menteri pertahanan ketika projek itu diberikan, sebaliknya memegang portfolio berkenaan dalam tempoh April 2009 hingga Mei 2013.

Ahmad Zahid menegaskan, mereka yang terbabit dalam kegagalan perolehan LCS perlu menjelaskan kepada PAC.

“Saya memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013. Jadi mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan pembinaannya haruslah bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada PAC.

“Ia (bagi) menyokong penuh pendedahan kelewatan ini,” katanya seperti dilapor UMNO Online, malam semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein 5 Ogos lalu memberi jaminan tiada sesiapa pun harus terlepas daripada hukuman akibat salah laku dalam projek berkenaan.

“Sebelum ini saya sebut, semalam saya tegaskan dan hari ini saya nyatakan sekali lagi – tiada siapa yang harus terlepas dari hukuman akibat salah laku dalam projek #LCS sebelum ini. Yang salah tetap salah.

“Saya percaya SPRM akan ambil tindakan. Itu saya serah kepada pihak berkuasa. No kompromi!,” katanya melalui Facebook.

-EDISI9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan